Hakim Danish mula petak ke-15 GP Thailand

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli menempah petak ke-15 pada sesi kelayakan Moto3 Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram hari ini.
Penunggang pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu bangkit mempamerkan semangat juang tinggi selepas bergelut pada awal sesi kelayakan pertama (Q1).
Hakim Danish, 18, melakukan pecutan terbaik pada pusingan terakhir untuk merekodkan masa 1 minit 41.476 saat (s), sekali gus melayakkannya ke sesi kelayakan kedua (Q2).
Catatan itu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu berkenaan meraih satu daripada lima slot terpantas ke Q2, sekali gus membuka ruang untuknya bersaing dengan kelompok elit dalam usaha memburu posisi lebih baik di grid.
Bagaimanapun, momentum tersebut sukar diteruskan pada Q2 susulan perubahan strategi beberapa pelumba lain yang memperlahankan jentera bagi mengelak taktik ‘mencucuk angin’.
Situasi itu menyukarkan Hakim Danish untuk memperbaiki masa terbaiknya sebelum sekadar mencatat 1 minit 41.761 saat, meletakkannya di barisan kelima untuk perlumbaan esok.
Meskipun hanya bermula di petak ke-15, kejayaan menembusi Q2 pada penampilan sulung musim penuh kelas Moto3 tetap dianggap perkembangan positif, sekali gus memberi keyakinan untuknya mencabar kelompok hadapan pada perlumbaan sebenar esok.
Sementara itu, rakan sepasukannya dari Jepun, Ryusei Yamanaka, akan memulakan perlumbaan dari petak ketujuh selepas merekodkan masa 1 minit 41.198 saat.
Petak utama menjadi milik pelumba Sepanyol, David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang mencatat masa 1 minit 40.088 saat.
Catatan itu memadam rekod sepusingan terpantas litar yang sebelum ini dipegang oleh Jose Antonio Rueda (1 minit 40.350 saat) pada 2025.
Barisan hadapan turut dibarisi Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) di tempat kedua dan Adrian Fernandez (Leopard Racing) di kedudukan ketiga.
Ringkasan AI
- Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menempah petak ke-15 pada sesi kelayakan Moto3 Grand Prix Thailand
- Hakim Danish bangkit dari sesi kelayakan pertama dengan mempamerkan semangat juang tinggi
- Catatan masa 1 minit 41.476 saat dalam Q1 melayakkan Hakim Danish ke sesi kelayakan kedua
- Perubahan strategi pelumba lain dalam Q2 menyukarkan Hakim untuk memperbaiki masa, akhirnya mendapat petak ke-15
- Kejayaan menembusi Q2 dianggap perkembangan positif bagi Hakim dalam musim penuh kelas Moto3 pertamanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

