Suhardi Pesuruhjaya Sukan baharu

Suhardi Alias
Suhardi Alias
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan Malaysia (KBS) mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias sebagai Pesuruhjaya Sukan yang baharu, dengan kontrak dua tahun berkuat kuasa Selasa.

Menurut KBS, Suhardi yang mula berkhidmat di MSN pada 1 April 1991 mempunyai pengalaman 32 tahun dalam bidang pengurusan dan sains sukan.

“Suhardi telah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan) MSN mulai 8 Mac 2019.

“Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kepujian (Dietetics) dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Diploma in Advance Sports Management (Persijilan IOC).

“Suhardi juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penarafan Persatuan Sukan Kebangsaan bersama Majlis Olimpik Malaysia pada 2009,” kata KBS dalam kenyataan pada Selasa.

Selain itu, beliau juga pengerusi dan pelopor Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan serta penggubal dan tenaga pengajar Kursus Sains Sukan Kebangsaan.

Sebagai ahli Makmal Industri Sukan Kebangsaan jelas kenyataan itu, Suhardi juga terlibat dalam penyediaan Road Map Industri Sukan Negara dan Visi Sukan Negara 2030.

Beliau juga berpengalaman dan telah melaksanakan berbagai penyelidikan dalam bidang Sports Governance bersama Universiti of Stirling, Scotland.

Artikel Berkaitan:

“Penyelidikan ini merangkumi aspek sports governance, pembangunan kapasiti persatuan sukan kebangsaan serta pembangunan ekosistem industri sukan,” jelas kenyataan itu lagi.

Selain itu, Suhardi juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Anti Rasuah MSN dan terlibat dalam pelbagai program pencegahan rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

“Beliau juga aktif di dalam program bersama INTERPOL dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi mengekang rasuah di dalam sukan, match fixing, dan sport betting.

“Suhardi juga terlibat di dalam pembangunan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) MSN secara langsung pada tahun 2019-2023,” ujarnya.

Suhardi juga terlibat dalam penganjuran temasya sukan antarabangsa di Malaysia termasuk Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, serta Le Tour De Langkawi.

“Di bidang sukan, beliau juga aktif dalam pelbagai sukan ekstrem seperti berbasikal, white water rafting dan beberapa ekspedisi pendakian di Everest Base Camp, Nepal,” kata KBS yang berharap pelantikan Suhardi akan membantu memperkasakan aspek tadbir urus badan sukan dan membantu pembangunan industri sukan di negara ini.