USM kongsi kaedah urus kanak-kanak tantrum

Dr Shaharum (duduk, dua dari kiri) dan Dr Mohd Zulkifli bergambar bersama peserta Bengkel Tantrum, Ketahui Teknik Pengurusan Tingkah Laku Kanak-Kanak OKU
Dr Shaharum (duduk, dua dari kiri) dan Dr Mohd Zulkifli bergambar bersama peserta Bengkel Tantrum, Ketahui Teknik Pengurusan Tingkah Laku Kanak-Kanak OKU
A
A
A

KOTA BHARU - Tantrum dalam kalangan kanak-kanak boleh berpunca daripada keadaan emosi tidak stabil atau melibatkan isu tertentu menyebabkan mereka tidak berpuas hati.

Ketua Pusat Transformasi OKU (PTO) Universiti Sains Malaysia (USM) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, tantrum merupakan tingkah laku secara tiba-tiba serta tidak terkawal dan biasanya secara agresif.

Menurut beliau, ibu bapa perlu peka dengan tingkah laku berkenaan agar kanak-kanak terbabit mendapat bantuan pakar psikologi atau pakar terapi dari awal.

"Apabila mereka didiagnos dan mendapat tahu puncanya, kita boleh membantu kanak-kanak berkenaan sejak dari kecil sekali gus mengurangkan tingkah laku agresif itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Bengkel Tantrum, Ketahui Teknik Pengurusan Tingkah Laku Kanak-Kanak OKU dekat sini pada Sabtu.

Dr Shaharum (dua dari kiri) ketika merasmikan Bengkel Tantrum, Ketahui Teknik Pengurusan Tingkah Laku Kanak-Kanak OKU
Dr Shaharum (dua dari kiri) ketika merasmikan Bengkel Tantrum, Ketahui Teknik Pengurusan Tingkah Laku Kanak-Kanak OKU

Majlis dirasmikan Pengarah Kampus USM, Profesor Dr Shaharum Shamsudin.

Mohd Zulkifli berkata, ibu bapa juga digalakkan merujuk kepada pakar dalam bidang itu lebih awal bagi mengawal anak-anak menjadi lebih teruk dan sukar dikawal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Shaharum berkata, USM melalui bengkel dua hari itu berkongsi ilmu pengetahuan mengenai kaedah penjagaan kanak-kanak tantrum melalui ceramah dua pakar dalam bidang itu.

Beliau memberitahu, antaranya ialah bagaimana untuk mengurus aspek kanak-kanak tantrum, kaedah mengawal dan mengurangkan kelakuan berkenaan.

"Peserta akan melakukan praktikal dan teori bagi membolehkan lebih banyak input untuk berdepan kanak-kanak yang sukar dikawal akibat tantrum

"Pakar psikologi dan terapi ini berganding bahu bagi memberi pemahaman yang lebih mendalam untuk mengurus kanak-kanak terbabit," katanya..

Tambah beliau, pengurusan kanak-kanak tantrum juga penting bagi mengelak kecederaan sendiri, penjaga atau individu sekeliling dicederakan.

"Kedua-dua pihak sama ada penjaga atau ibu bapa perlu ada pengetahuan mengenai tingkah laku kanak-kanak ini," katanya.

PTO-MAIK menerima kira-kira 70 peserta termasuk guru dan ibu bapa menyertai bengkel dua hari yang berakhir pada Ahad.