Kalah Parlimen Kota Bharu, Andy tidak serik bertanding DUN

Andy (dua dari kanan) menerima watikah pencalonan daripada Setiausaha PRM, Swee Yong.
Andy (dua dari kanan) menerima watikah pencalonan daripada Setiausaha PRM, Swee Yong.
A
A
A

KOTA BHARU - Kekalahan di kerusi Parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu tidak pernah menjadikan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Andy Tan serik untuk bertanding lagi pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Andy yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama berkata, walaupun pernah kalah namun beliau tetap berusaha mahu merealisasikan visinya.

Beliau mengakui akan meneruskan visinya mengangkat Kota Bharu sebagai pusat ekonomi dan budaya supaya lebih gah dan dikenali.

"Saya tidak pernah serik dengan kekalahan demi demokrasi dan akan terus berjuang kerana rakyat.

Tambahan pula negara kini 'berperang' dengan isu rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau mendakwa, Kelantan masih mundur walaupun selama 33 tahun di bawah pentadbiran Pas.

Andy menerima watikah pencalonan daripada Setiausaha PRM, Koh Swee Yong untuk bertanding di kerusi DUN Kota Lama pada Rabu.

Beliau memberitahu, penampilan calon bukan Islam dapat mewujudkan perpaduan dan melahirkan idea bagi mengelakkan rasuah.

Andy atau lebih mesra dengan panggilan Awang berusia 55 tahun berdepan lima calon pada PRU15 lalu iaitu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail; Profesor Datuk Dr Che Musa Che Omar (GTA-Putra), Dr Hafidzah Mustakim (PH) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).