BHEUU kaji lebih banyak keterangkuman digital dalam perlindungan kanak-kanak

Azalina (kiri) bercakap pada sidang akhbar selepas melawat reruai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Azalina (kiri) bercakap pada sidang akhbar selepas melawat reruai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan mengkaji lebih banyak keterangkuman digital dalam bidang melindungi kanak-kanak, tahun depan dalam usaha menambah baik sistem keadilan golongan itu di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menerusi artikel bertajuk Protecting Our Children Online: The Digital Way Forward yang dikongsikan melalui platform media sosial beliau dan diedarkan kepada media bersempena dengan Hari Kanak-Kanak sedunia hari ini, Azalina berkata, menjaga kanak-kanak dalam dunia digital bukan sekadar tanggungjawab, tetapi juga janji yang perlu dibuat untuk masa depan negara.

"Pada Hari Kanak-Kanak ini, marilah kita komited untuk mewujudkan ruang digital bagi kanak-kanak bukan sahaja berkembang maju, malah turut diperkasa dan selamat. Dengan memasukkan pendekatan berpaksikan kanak-kanak dalam langkah keselamatan siber, kita boleh memupuk generasi yang celik digital, yakin dan dilindungi," katanya.

Menurut Azalina, pelaksanaan platform pelaporan yang mesra kanak-kanak akan menjadi pencetus perubahan.

"Melalui penggabungan ciri-ciri intuitif dan prinsip reka bentuk yang berpusat kepada kanak-kanak, aplikasi ini mempunyai potensi untuk merevolusikan proses pelaporan, mengubahnya kepada pengalaman yang positif dan menyokong serta memupuk rasa selamat dan keyakinan dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, walaupun konsep ini bukanlah baharu, ia dibuktikan menerusi platform sedia ada seperti https://cybertip.ca/en/ oleh Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Kanada, https://www.thinkuknow.org.au/ daripada Polis Persekutuan Australia dan https://report.cybertip.org/ oleh Pusat Kebangsaan Amerika Syarikat bagi Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi, dengan menekankan keberkesanan penggunaan ruang digital yang memperkasakan dan melindungi kanak-kanak.

Mengakui bahawa kanak-kanak merupakan generasi yang dibesarkan dalam era digital, Azalina berkata, komitmen kerajaan perlu beralih untuk memperkasakan literasi dan kapasiti digital mereka.

"Adalah penting untuk meningkatkan pemahaman mereka menerusi program dan inisiatif pendidikan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk mengemudi landskap digital.



"Hal ini melibatkan memperkasakan mereka untuk membuat keputusan yang berasas, mengenal pasti potensi ancaman dan melindungi diri mereka sendiri dengan berkesan menerusi bidang dalam talian," katanya dan menambah pada masa depan, adalah penting untuk memasukkan kanak-kanak dalam penggubalan dasar.

"Dalam mendukung konsep 'nothing for us without us’, kita menyedari bahawa penyertaan aktif kanak-kanak dalam proses membuat keputusan adalah asas untuk mewujudkan dasar yang benar-benar memenuhi keperluan dan kebimbangan mereka," katanya.
Artikel Berkaitan:


Menurut Azalina, melindungi kanak-kanak dalam landskap digital yang sentiasa berkembang adalah perkara paling penting kerana mereka ialah kumpulan masyarakat yang paling berharga dan merupakan masa depan Malaysia.

"Sama ada trend ini unik di Malaysia atau fenomena global, saya biasa melihat kanak-kanak dan anak kecil begitu asyik dengan peranti, sama ada telefon pintar atau tablet, di meja makan dan pelbagai tempat awam, di mana-mana saja.

"Teknologi berkembang pada kadar yang pantas dan 94 peratus kanak-kanak Malaysia hari ini merupakan pengguna aktif Internet ... menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan langkah kanak-kanak dalam dunia digital ini dibimbing dengan pemahaman, empati dan perlindungan yang tidak berbelah bahagi," katanya.

Azalina berkata, masyarakat harus komited memelihara ruang digital dengan melindunginya daripada potensi perangkap dengan kemungkinan yang tiada had melalui dunia dalam talian.

Beliau berkata, dalam usaha mendapatkan perlindungan, memperkasakan suara kanak-kanak memainkan peranan yang penting.

"Saya menggesa semua untuk meluangkan sedikit masa membayangkan ruang bagi anak-anak kita bukan sahaja melihat, tetapi juga didengari. Marilah memupuk rasa kepunyaan dalam diri anak-anak untuk pengalaman dalam talian mereka. Daripada bergantung kepada orang dewasa semata-mata untuk melaporkan dan mencegah, mereka juga perlu dilengkapkan dengan maklumat penting dan keyakinan untuk melaporkan sebarang jenayah siber atau kejadian yang mereka atau rakan sebaya hadapi," katanya.

Azalina berkata, budaya yang memberikan kuasa kepada kanak-kanak untuk menyuarakan kebimbangan mereka akan menyumbang kepada persekitaran dalam talian yang lebih selamat buat semua.

Beliau berkata Malaysia juga telah mengetengahkan kepentingan keselamatan siber dalam era digital pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) minggu lepas dan sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, negara komited untuk mengintegrasikan langkah keselamatan siber yang berpaksikan kanak-kanak untuk memastikan keselamatan warga digital muda.

"Perlindungan mereka (kanak-kanak) adalah penting untuk kejayaan usaha keselamatan siber yang lebih luas," kata beliau. - Bernama