Sebar rakaman audio separuh-separuh tidak bertanggungjawab - Suhardi

Pesuruhjaya Sukan buat laporan polis bagi memastikan pihak sebarkan rakaman audio perbincangan tertutup beliau bersama pihak MEGA dan MESF dikenakan tindakan sewajarnya.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar Kecil: Suhardi)
Pesuruhjaya Sukan buat laporan polis bagi memastikan pihak sebarkan rakaman audio perbincangan tertutup beliau bersama pihak MEGA dan MESF dikenakan tindakan sewajarnya.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar Kecil: Suhardi)
A
A
A

LAPORAN polis dibuat bagi memastikan pihak yang menyebarkan rakaman audio perbincangan tertutup Pesuruhjaya Sukan (PJS) bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dikenakan tindakan sewajarnya.

Itu tekad PJS, Suhardi Alias apabila kecewa dengan tindakan segelintir pihak menyebarkan rakaman audio separuh-separuh semasa sesi perbincangan tersebut sehingga menimbulkan fitnah antara bekas Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Jelas Suhardi, inti pati perbincangan tertutup itu tidak sepatutnya disebarkan kepada umum sehingga menimbulkan salah faham terutamanya perbualan yang berada di luar konteks.

“Saya mengadakan satu perjumpaan tertutup bersama MEGA dan MESF bertujuan mencari jalan pendamaian pada 14 November lalu.

“Sebagai makluman MESF merupakan pertubuhan sah yang berdaftar dengan PJS manakala MEGA pula berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Ini merupakan faktor utama sebab PJS memberikan masa kepada MEGA untuk berbincang agar pertubuhan ini boleh menjadi ahli bersekutu MESF dalam mengakhiri kemelut pendaftaran dan keahlian antarabangsa antara kedua-dua persatuan sukan ini,” katanya yang menyifatkan penyebaran rakaman audio separuh-separuh merupakan budaya tidak sihat.

Tambah Suhardi lagi, pihaknya percaya penyebaran audio separuh-separuh selepas perbincangan itu juga menyalahi perkara di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya percaya menjadi satu kesalahan menyebarkan audio separuh-separuh perbincangan tertutup untuk tatapan umum bagi membangkitkan keresahan dalam kalangan ahli MOM.

Artikel Berkaitan:

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada Sukan Sinar.

MOM sebelum ini dilaporkan akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berikutan tindakan Suhardi yang dikatakan mengancam untuk membatalkan pendaftaran badan induk tersebut baru-baru ini.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kenyataan sedemikian tindakan yang tidak wajar daripada Suhardi kerana status MOM selaku badan payung persatuan sukan kebangsaan dijamin dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.

Pada masa sama mengulas lanjut Suhardi juga memaklumkan bahawa MOM tertakluk kepada Seksyen 8 dan 9 Akta Pembangunan Sukan (Akta 576).

“Ini bermaksud MOM juga tertakluk kepada akta ini yang mana peruntukan ini terpakai bagi badan sukan adalah sama terpakai bagi MOM dan sebutan mengenai badan sukan dalam peruntukan itu termasuk sebutan mengenai MOM.

“Saya juga ingin menasihatkan MOM supaya mematuhi semua peraturan dan akta berkenaan agar pembangunan sukan di bawah gabungannya dapat dipertingkatkan pada masa depan.

“MOM juga perlu akur kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta 576 bahawa mereka tidak kebal dari tindakan undang-undang negara.

“Memandangkan perkara ini akan menjadi siasatan pihak berkuasa, saya berharap semua pihak tidak lagi membuat kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan polis dan mengeruhkan keadaan,” katanya.