Kelab DAP Veteran buat laporan polis terhadap Dr Siti Mastura

Dr Siti Mastura Muhammad
Dr Siti Mastura Muhammad
A
A
A

KEPALA BATAS - Kelab DAP Veteran Kebangsaan pada Sabtu membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berhubung dakwaannya yang mengatakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng.

Pengerusinya, Lay Hock Peng berkata, pihaknya membuat laporan polis itu supaya tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa terhadap Siti Mastura kerana tindakannya seolah-olah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

"Saya telah menonton rakaman ucapan Siti Mastura pada sebuah majlis yang diberi nama ‘Himpunan Jentera Muslimat & Ameerah P.040 Kemaman’ (pada 4 November lepas) menerusi laman YouTube dan pada minit ke-24 rakaman itu.

"Saya mendapati satu siri dakwaan tidak berasas yang berunsur fitnah jahat telah diucapkan beliau membabitkan Tan Sri Lim Kit Siang dan keluarga beliau, mengaitkan keluarga terbabit dengan Chin Peng," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini pada Sabtu.

Fitnah yang diucapkan Siti Mastura itu, katanya telah berkali-kali dibuktikan palsu dan jahat, malah sehingga hari ini tidak pernah ada sebarang bukti dikemukakan untuk menyokong dakwaan palsu itu.

Laporan polis ini merupakan yang kedua dibuat pemimpin DAP selepas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid di IPD Brickfields semalam.

Sebelum ini, Guan Eng memberi masa dua hari (hingga Khamis lepas) untuk Siti Mastura mengemukakan bukti berkenaan dakwaan itu, dan selepas tempoh 48 jam diberikan beliau akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen daripada Pas itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: