PRK Kemaman: BN lawan Pas

Ahmad Samsuri (kiri) bersama Raja Mohamed Affandi selepas pengumuman calon bagi PRK Parlimen Kemaman pada Sabtu.
Ahmad Samsuri (kiri) bersama Raja Mohamed Affandi selepas pengumuman calon bagi PRK Parlimen Kemaman pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Mereka terdiri daripada bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari BN dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada jam 10.15 pagi Sabtu.

Ahmad Farhan memaklumkan Ahmad Samsuri, 53, menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi, diikuti Raja Mohamed Affandi, 66, jam 9.08 pagi.

Terdahulu, Ahmad Samsuri diarak lebih 2,000 penyokong, sambil diiringi beberapa pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) seperti Naib Presiden Pas, Datuk Seri Idris Ahmad; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau; Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Calon BN, Raja Mohamed Affandi pula diiringi Top 4 UMNO iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Khaled Nordin; Datuk Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Wakil Pakatan Harapan (PH) yang turut hadir ialah Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pas pada 3 Oktober lalu pula memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.