PRK Kemaman: Suasana hangat walau hujan renyai

Penyokong mula berhimpun sejak jam 8 pagi di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman bagi mengiringi calon parti masing-masing.
Penyokong mula berhimpun sejak jam 8 pagi di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman bagi mengiringi calon parti masing-masing.
A
A
A

KEMAMAN - Suasana hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman tetap hangat walaupun diiringi hujan renyai.

Tinjauan Sinar Harian di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman mendapati penyokong kedua-dua parti mula berhimpun sejak jam 8 pagi bagi mengiringi calon parti masing-masing.

Difahamkan, seramai 419 pegawai dan anggota polis bertugas bagi memastikan kelancaran proses penamaan.

Sebanyak 25 jalan ditutup dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari bagi memastikan kelancaran proses penamaan itu.

Selain itu, hanya calon, pencadang dan penyokong sahaja dibenarkan masuk ke pusat penamaan tersebut.

Tempoh proses penamaan calon adalah selama sejam hingga jam 10 pagi sebelum calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus PRK, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

BN sebelum ini mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 66, sebagai calon mereka manakala Pas menamakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula melakukan persediaan untuk menutup jalan di sekitar Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman, bertempat di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman hari ini. - Foto Bernama
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula melakukan persediaan untuk menutup jalan di sekitar Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman, bertempat di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman hari ini. - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan 2 Disember sebagai tarikh mengundi manakala pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Parlimen Kemaman mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.