Bersatu pecat Hamzah Zainudin

SHAH ALAM - Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat keahlian Datuk Seri Hamzah Zainudin berkuat kuasa pada Jumaat.
Menurut sumber, keputusan itu dibuat terhadap Timbalan Presiden Bersatu itu menerusi persidangan yang berlangsung pada Khamis kerana tindakannya didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Menerusi notis tersebut, Hamzah bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi kenyataan memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi telah dimaklumkan mengenai keputusan Lembaga Disiplin itu.
"Hamzah dipecat dan hak-hak keahliannya dalam parti digugurkan di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai 13 Februari (Jumaat) kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu," katanya ringkas.
Ahli Parlimen Larut itu sebelum ini dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Prosiding Lembaga Disiplin Bersatu terhadap Hamzah tetap diteruskan seperti dijadualkan meskipun Ketua Pembangkang itu berada di luar negara.
Pada masa sama, seramai 16 Ahli Parlimen Bersatu mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan sebagai presiden parti.
Kesemua wakil rakyat terbabit melahirkan keyakinan bahawa Hamzah mampu menjadi Pemangku Presiden yang baik, mengembalikan agenda Bersatu kepada perjuangan rakyat dan negara serta menyatukan kembali parti demi memastikan kemenangan.
Ringkasan AI
- Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia memecat keahlian Datuk Seri Hamzah Zainudin
- Keputusan dibuat kerana tindakan Hamzah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu
- Hamzah boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari
- Pemecatan berkuat kuasa mulai 13 Februari
- Seramai 16 Ahli Parlimen Bersatu mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai presiden parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
