PRK Kemaman: Takbir iringi Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (tengah) hadir di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bagi menyerahkan borang pencalonan, bertempat di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Samsuri (tengah) hadir di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bagi menyerahkan borang pencalonan, bertempat di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KEMAMAN - Laungan takbir mengiringi calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu diarak lebih 2,000 penyokong yang hadir seawal jam 8 pagi sebelum memasuki Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman dekat sini.

Selain itu, beberapa pemimpin utama Pas turut mengiringi Ahmad Samsuri termasuk Naib Presiden Pas, Datuk Seri Idris Ahmad; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau; Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.