Amanah tangguh pemilihan parti, Pas kekal jadual muktamar

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dijadualkan pada tahun ini bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) Amanah yang diadakan pada Khamis malam.
Beliau berkata, penangguhan berkenaan mengambil kira PRU16 serta PRN terutama di Melaka, Johor dan Sarawak yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
"Keputusan dibuat berdasarkan Perkara 19.2 (j) Perlembagaan Amanah yang memberikan kuasa kepada JKP Nasional untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga 18 bulan.
“Pemilihan parti akan diadakan sebaik sahaja urusan PRU dan PRN selesai tanpa menunggu tempoh penuh penangguhan 18 bulan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mengukuhkan kesiapsiagaan parti berdepan PRU dan PRN, JKP Nasional mengarahkan Amanah di peringkat negeri dan kawasan supaya segera menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.
Manurutnya, temu rapat pimpinan utama Amanah bersama jentera di peringkat akar umbi akan diadakan mengikut zon yang akan ditetapkan tarikhnya kelak.
“Program ini akan dimulakan di Melaka dan Johor,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Amanah sebagai salah satu komponen gabungan Kerajaan Perpaduan akan mengambil tanggungjawab memartabatkan kedudukan orang Melayu melalui polisi yang mampu mengangkat sosioekonomi golongan itu.
Katanya, parti itu juga beriltizam memandu perubahan pemikiran orang Melayu untuk menolak sentimen Melayu terpinggir dan Islam terancam yang dimainkan pihak pembangkang.
“Amanah akan membawa naratif pemikiran baharu yang lebih rasional, progresif dan sederhana.
“Sehubungan itu, JKP Nasional bersetuju supaya Amanah memainkan peranan lebih aktif dalam membawa perubahan ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pas pula menegaskan tidak akan menangguhkan muktamar tahunannya walaupun negara berdepan kemungkinan PRU dalam tempoh terdekat.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menerusi satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Muktamar Pas Pusat akan diadakan pada 4 hingga 6 September 2026 di Kelantan.
“Insya-ALLAH Muktamar Pas Pusat 4 - 6/9/26 di Kelantan. Pas tidak tangguh muktamar, sebab tahun PRU. Pas tak kalut,” tulisnya.
Ringkasan AI
- Parti Amanah Negara (Amanah) menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini untuk fokus pada PRU16 dan PRN
- Keputusan penangguhan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah
- Penangguhan ini mengambil kira PRU dan PRN yang akan berlangsung terutama di Melaka, Johor dan Sarawak
- Pemilihan parti akan diadakan sebaik sahaja PRU dan PRN selesai tanpa perlu menunggu 18 bulan
- Pas menegaskan tidak akan menangguhkan muktamar tahunannya walaupun berdepan dengan kemungkinan PRU
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

