Belanjawan Kelantan 2024 fokus kebajikan rakyat

Simbolik penyerahan replika cek atas sumbangan kepada Palestin bagi membantu umat Islam yang terjejas.
Simbolik penyerahan replika cek atas sumbangan kepada Palestin bagi membantu umat Islam yang terjejas.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan terus menumpukan kepada kepentingan dan kebajikan rakyat di negeri ini pada Belanjawan negeri itu bagi tahun 2024.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembentangan berhubung belanjawan itu dijadualkan bermula pada hari Khamis dan penggulungan bagi pihak kerajaan negeri akan dibuat pada Isnin.

“Kami akan memberi fokus ke arah kebajikan rakyat bersesuaian dengan tema Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera iaitu kesejahteraan dan pembangunan kepada rakyat negeri ini.

“Pengisian lanjut berkaitan belanjawan itu akan diketahui dalam pembentangan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 pada Rabu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Medan Ilmu di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Mohd Nassuruddin yang turut menyertai program penyerahan sumbangan RM6 juta daripada 14 kawasan Pas Kelantan kepada Palestin.

Menurut Mohamed Fadzli, juga dijangkakan terdapat beberapa rang undang-undang yang turut akan dibentangkan pada sidang itu nanti namun tidak memperincikan perkara tersebut.

“Beberapa rang undang-undang yang akan dibentangkan tetapi belum boleh didedahkan buat masa ini dan perlu menunggu sidang itu nanti,” kata beliau.

Artikel Berkaitan: