Jangan sampai manfaat nadir bumi 'nadir' untuk rakyat - ADUN Galas

Mohd Syahbuddin 
Mohd Syahbuddin 
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan disaran menetapkan formula manfaat setempat bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Gua Musang sebelum sebarang lesen kelulusan diberikan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata, formula itu penting bagi memastikan penduduk di kawasan terlibat turut menikmati hasil daripada sumber mineral yang terdapat di tanah mereka.

“Rakyat di Subong dan kawasan sekitarnya termasuk Kampung Batu Papan bertanya kalau galian diambil dari tanah kami, apa yang kami dapat?

“Cadangan saya, sebelum mana-mana lesen perlombongan REE diluluskan, kerajaan negeri menetapkan dari awal satu formula manfaat setempat iaitu peratusan royalti untuk pembangunan mukim terlibat, keutamaan pekerjaan kepada anak tempatan dan pemantauan alam sekitar serta laporannya dibuka kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 pada Persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Mohd Syahbuddin juga secara kiasan menggunakan perkataan ‘nadir’, yang bermaksud jarang ada, bagi memberi peringatan agar limpahan ekonomi projek bernilai tinggi itu tidak menjadi terlalu terhad atau gagal dirasai oleh komuniti setempat.

“Nadir bumi bukan sahaja ‘nadir’ di perut bumi. Jangan sampai manfaatnya pun ‘nadir’ untuk rakyat yang tinggal di atasnya,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas daripada Barisan Nasional (BN) itu turut meminta kerajaan negeri memperincikan unjuran hasil REE dalam pasaran kewangan negeri.

Berdasarkan Buku Ucapan Belanjawan 2027, anggaran hasil perlombongan negeri bagi tahun berkenaan ditetapkan sebanyak RM48.41 juta, memperlihatkan peningkatan sebanyak RM5.9 juta atau 13.88 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Mohd Syahbuddin memohon penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai jumlah pecahan daripada kenaikan RM5.9 juta hasil perlombongan tersebut yang dijangka disumbangkan secara khusus oleh sektor REE.

Dalam perkembangan lain, beliau juga meminta kerajaan Kelantan membantu merealisasikan pembinaan kompleks sekolah di Bandar Utama, Gua Musang yang akan menempatkan sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah.

Katanya, projek berkenaan berdepan kekurangan tanah apabila tapak yang diserahkan kepada Kementerian Pendidikan seluas 4.05 hektar, sedangkan 5.67 hektar diperlukan bagi memenuhi keperluan kompleks berkenaan.

“Baki 1.62 hektar itu ialah tanah milik Yayasan Islam Kelantan.

“Saya merayu dan memohon pertimbangan pihak kerajaan untuk membantu merealisasikan hasrat Gua Musang mempunyai sebuah kompleks sekolah yang cukup saiz,” katanya.

Mohd Syahbuddin berkata, kompleks sukan yang sudah diluluskan di kawasan itu juga masih tertangguh menunggu keputusan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu jambatan Pos Brooke yang runtuh dihanyutkan air dan mencadangkan baki peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) digunakan bagi membina jambatan sementara serta jambatan kekal.

“Kemudahan ini penting kerana menjadi laluan penduduk, termasuk anak-anak ke sekolah dan ibu-ibu mendapatkan rawatan di klinik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!