Belanjawan Selangor 2024 dianggarkan RM2.53 bilion

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menganggarkan RM2.53 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri turut menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion tahun depan berdasarkan rekod pencapaian pada Ogos 2022 dan September tahun ini.

Ujarnya, antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2024 adalah premium tanah sebanyak RM 890.94 juta bersamaan 40.5 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

“Penyumbang kedua terbesar hasil cukai tanah sebanyak RM622.65 juta (28.3 peratus) dan ketiga pemberian persekutuan berjumlah RM212.96 juta, 9.7 peratus daripada pendapatan 2024,” katanya membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin turut berkata, belanjawan kali ini turut mengalami defisit berjumlah RM330 juta, namun lebih rendah berbanding tahun lalu dengan pengurangan sebanyak RM120 juta.

"Walaupun melaksanakan perbelanjaan defisit sejak enam belanjawan lalu kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk mengurangkan angka tersebut kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik tanpa menjejaskan output dan impak perbelanjaan," katanya.

Katanya lagi, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar perbelanjaan mengurus antaranya kenaikan gaji penjawat awam kontrak, elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain serta petugas masjid.

Artikel Berkaitan:

Bertemakan Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan, Belanjawan Selangor 2024 digerakkan melalui empat teras utama iaitu pemangkin pelaburan berkualiti, menjana pendapatan tinggi; mengangkat pendidikan bestari, menjamin alam sekitar lestari; menaungi kebajikan rakyat dan mengangkat kesatuan ummah

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!