'Percepat urusan rakyat, selesai aduan dengan berkesan' - MB Kelantan

Mohd Nassuruddin - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Nassuruddin - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mahu penjawat awam negeri meningkatkan kecekapan perkhidmatan dengan mempercepat urusan rakyat serta memastikan aduan diselesaikan dengan berkesan menerusi pelaksanaan modul Pengurusan Ihtirafi.

Beliau berkata, modul berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan kompetensi, integriti, disiplin kerja serta kemahiran menyelesaikan masalah supaya penjawat awam dapat melaksanakan amanah dengan lebih cekap, tepat dan berkesan.

“Pemerkasaan penjawat awam menerusi Pengurusan Ihtirafi berteraskan lima prinsip utama yang perlu diterjemahkan kepada tindakan serta pencapaian yang boleh dinilai.

“Kelima-lima prinsip ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang boleh dinilai, termasuk mempercepat urusan rakyat, meningkatkan ketepatan keputusan, mengurus kewangan secara berhemat dan menyelesaikan aduan dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan mengenai aplikasi atau modul baharu bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Selasa.

Mohd Nassuruddin berkata, usaha memperkukuh pentadbiran awam itu turut dilaksanakan menerusi pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.

Katanya, berdasarkan Laporan Pencapaian Perkhidmatan End-To-End (E2E) bagi suku kedua 2026, sebanyak 2,187 daripada 3,568 perkhidmatan kerajaan negeri atau 61.29 peratus telah ditransformasikan kepada perkhidmatan digital sepenuhnya.

Menurutnya, pendekatan E2E membolehkan keseluruhan proses perkhidmatan bermula daripada permohonan, saringan, pembayaran hingga pengeluaran kelulusan atau keputusan diselesaikan secara digital tanpa memerlukan rakyat hadir berulang kali ke kaunter atau pejabat kerajaan.

Antara sistem yang diperkasakan termasuk e-Azziwaaj bagi permohonan Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj, e-Agihan MAIK untuk bantuan zakat, SerambiPay bagi pembayaran dalam talian serta Portal Hasil Tanah Kelantan untuk semakan dan pembayaran cukai tanah.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri turut menyediakan sistem permohonan Rumah Mampu Milik Kelantan, e-Qaryah, e-Mikro dan Portal Digital Kelantan sebagai gerbang bersepadu bagi memudahkan akses kepada pelbagai maklumat serta perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!