8,035 pelajar terima manfaat Skim Dermasiswa Pengajian, Permulaan IPT

Mohamad (empat dari kanan) dan Amran (empat dari kiri) bergambar bersama penerima agihan Skim Dermasiswa Pengajian dan Skim Permulaan IPT.
Mohamad (empat dari kanan) dan Amran (empat dari kiri) bergambar bersama penerima agihan Skim Dermasiswa Pengajian dan Skim Permulaan IPT.
A
A
A

BUTTERWORTH - Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan sebanyak RM19.815 juta agihan melalui Skim Dermasiswa Pengajian dan Skim Permulaan IPT kepada 8,035 pelajar yang melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amran Hazali berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM14.515 juta diagihkan kepada 3,545 pelajar menerusi Skim Dermasiswa Pengajian manakala untuk bagi agihan Skim Permulaan IPT pula, ZPP telah mengagihkan sebanyak RM5.3 juta yang disalurkan kepada 4,490 pelajar.

Menurutnya, bagi Skim Dermasiswa Pengajian agihan dibuat meliputi pembiayaan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi dalam negara yang merangkumi peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (master) dan ijazah doktor falsafah (Ph.D).

Amran
Amran

Sementara itu, bagi Agihan Permulaan IPT pula, Amran menjelaskan ia disalurkan kepada pelajar-pelajar Pulau Pinang dalam dan luar negara di peringkat matrikulasi, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah Doktor Falsafah.

"Skim Dermasiswa Pengajian dan Skim Permulaan IPT merupakan skim agihan zakat yang mempunyai impak yang besar kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang.

"Ia mempunyai signifikan yang jelas tentang agihan yang disalurkan daripada agihan asnaf fisabilillah yang membawa maksud perkara yang memberikan maslahat dan kebajikan umum kepada umat Islam.

"ZPP menyedari bahawa keberkesanan agihan zakat melalui skim zakat pendidikan ini merupakan faktor penting agihan zakat produktif dalam usaha mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi ummah di Pulau Pinang," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Skim Dermasiswa Pengajian dan Permulaan IPT 2023 pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Hadir menyempurnakan majlis, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Dalam majlis berkenaan, Amran turut menitipkan pesanan buat pelajar dan penerima manfaat skim agihan yang disediakan supaya mengasah dengan lebih mendalam kebolehan berfikir dan menyelesaikan masalah serta kebolehan untuk berkomunikasi dengan efektif.

Jelasnya, kebolehan itu amat penting dalam memastikan skillset yang perlu dimiliki akan menjadi kemahiran yang diperlukan semasa memohon pekerjaan nanti.

"Kita tidak mahu pelajar-pelajar yang menerima dermasiswa ZPP sekadar menghafal silibus semata-mata.

"Kita inginkan graduan yang faqih dan alim yang mampu mengasah kemahiran berfikir secara berbeza, kerana di dunia sebenar nanti, tiada skema jawapan yang disediakan,"katanya.