Muhammad Fauzi Ketua Pembangkang Pulau Pinang baharu

Muhammad Fauzi
Muhammad Fauzi
A
A
A

GEORGE TOWN - Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang baharu.

Muhammad Fauzi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua adalah Ketua Pembangkang pertama daripada Pas, yang juga mewakili blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang.

Katanya, pelantikan itu dibuat oleh kepimpinan pusat PN yang mana, surat berkenaan perkara itu telah diserahkan kepada Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang sejak sebulan lalu.

"Secara tidak rasmi, ya (Ketua Pembangkang) kerana Speaker belum umum. Kepimpinan PN yang buat keputusan, malah surat sudah diserahkan kepada Speaker sebulan lalu.

"PN telah memutuskan maknanya saya (dilantik) sebagai pembangkang. Nama sudah pun diberikan kepada Speaker. Insya-ALLAH Isnin ini akan umum," ketika ditemui di pekarangan Bangunan DUN selepas perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang DUN Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.

Ditanya mengenai isu yang akan dibawa nanti, Muhammad Fauzi berkata, ia berkait rapat dengan isu rakyat selain akan memastikan kerajaan negeri mencapai objektifnya.

"Perancangan isu berdasarkan hasil kita turun padang, bertemu masyarakat, mendapat 'feedback' daripada pelbagai pihak. Itu yang akan dibahaskan di dalam Dewan kelak.

"Isu yang berkaitan dengan rakyat kerana kita mahu bina dan supaya kerajaan negeri capai objektifnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Fauzi (dua dari kanan) dan Yusni (kiri) bersama beberapa wakil PN yang akan menghangatkan Dewan pada Isnin ini.
Muhammad Fauzi (dua dari kanan) dan Yusni (kiri) bersama beberapa wakil PN yang akan menghangatkan Dewan pada Isnin ini.

Sementara itu, Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) berkata, PN akan memeriahkan Dewan pada penggal ini berikutan blok pembangkang kini mempunyai 11 wakil.

"Pembangkang ada 11 sekarang, dahulu saya seorang (daripada Pas). Seronok lah kali ini. Kita akan memanaskan dan memeriahkan Dewan nanti. Jangan bimbang.

"Kita juga akan 'check and balance' apa yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.Setiap daripada kita akan pegang portfolio Exco untuk kita pantau," katanya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada Ogos lalu, PN menang di 11 daripada 40 kerusi yang ditandingi iaitu Penaga, Permatang Berangan, Pinang Tunggal, Sungai Dua, Telok Ayer Tawar, Pulau Betong, Telok Bahang, Sungai Bakap, Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional memenangi 29 kerusi iaitu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Kemenangan itu membuktikan PH kekal berkuasa dan mentadbir negeri ini buat penggal keempat berturut-turut.