Rumah kos rendah, sederhana di Pulau Pinang tidak dibenarkan disewa

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang tidak membenarkan Rumah Mampu Milik (RMM) kos rendah dan sederhana (RMMA dan RMMB) disewakan sama ada kepada warga asing atau tempatan, kata Pengerusi Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S.Sundarajoo.

Beliau berkata, ia diputuskan baru-baru ini memandangkan terdapat keperluan untuk mengawal ketat rumah kos rendah dan sederhana yang telah mendapat subsidi kerajaan daripada disalahgunakan termasuk disewakan atau dijadikan asrama pekerja.

"Penting kepada pihak berkuasa untuk lebih ketat dalam mengawal unit-unit bersubsidi tinggi seperti rumah RMMA dan RMMB daripada disalah guna termasuk disewakan, malah dijadikan asrama pekerja. Saya sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri mengenai tindakan penguatkuasaan sewajarnya yang perlu diambil.

"Ia sangat mudah... adakah kita akan membenarkan begitu ramai warga asing (pekerja asing) tinggal dalam kalangan kita? Itu tidak sihat. Ini juga termasuk unit yang disewakan kepada penduduk tempatan dan kita akan menghalang pemilik rumah kos rendah dan sederhana ini daripada menyewakan unit mereka (kerana) mereka mendapat subsidi yang besar," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Perumahan Negeri-negeri 2023 di sini yang berlangsung dua hari bermula hari ini.

Sundarajoo berkata, langkah pemulihan atau pemutihan perlu dilakukan terhadap unit yang telah lama dijadikan asrama pekerja agar lebih teratur dan terkawal selain pada masa sama isu legasi seperti semakan silang pemilikan hartanah antara negeri juga perlu diwujudkan untuk saringan yang lebih luas.

Beliau berkata, ada dalam kalangan pemilik rumah kos rendah dan sederhana menyewakan rumah atau unit kediaman mereka kepada kilang dengan kadar RM1,000 sebulan dan mencari tempat tinggal lain dengan bayaran RM500 sebulan.

"Itu bukan tujuan kami membina unit kos rendah dan sederhana, malah sebenarnya kita juga boleh mengambil semula unit ini dan memberikannya kepada mereka yang lebih layak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sundarajoo berkata, pemaju yang memaksa pembeli skim RMM kerajaan negeri untuk mendaftar bagi 'pakej pengubahsuaian' pemaju untuk menaikkan harga, akan berdepan tindakan senarai hitam.

Menurut Sundarajoo, beliau menyedari terdapat kes sedemikian dan turut menerima aduan bahawa pemaju meminta pembeli mengambil pakej pengubahsuaian tersebut, namun sebenarnya pembeli mempunyai hak untuk menolaknya.

"Pemaju tidak sepatutnya melakukan ini (memaksa pembeli) kerana mereka harus berpegang pada harga yang diberikan kerajaan negeri. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemaju sedemikian, termasuk menyenaraihitamkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) Pulau Pinang Ravinder Singh yang dilaporkan berkata pihaknya menerima aduan terdapat pemaju enggan menjual pada harga tawaran dan memaksa pembeli mengambil 'pakej pengubahsuaian' yang lebih mahal. - Bernama