Laksana saringan mengejut di sekolah, kawal salah guna dadah

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan melaksanakan saringan dadah secara mengejut di peringkat sekolah.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, langkah itu bagi membolehkan pengesanan peringkat awal untuk tujuan pemulihan.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor berkata, penyalahgunaan dadah termasuk ganja dan air ketum dikesan telah bermula sejak bangku sekolah khususnya dalam kalangan belia daripada keluarga B40 dan ke bawah.

"Ia susulan kawasan kejiranan yang terdedah kepada pengaruh dan pengedaran dadah.

"Kerajaan negeri sasar untuk masuk ke peringkat sekolah khususnya sekolah menengah untuk memberikan program penerangan selain bekerjasama AADK untuk menjalankan saringan secara mengejut.

"Kita bimbang jika maklum awal (saringan), mereka akan lari.

"Kita nak pantau awal bagi kawal salah guna dadah ini," katanya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mohd Najwan (tengah) bersama peserta program Raikan Swacinta di WTC pada Khamis.
Mohd Najwan (tengah) bersama peserta program Raikan Swacinta di WTC pada Khamis.

Beliau ditemui pada program Raikan Swacinta berlangsung Pusat Dagangan Dunia (WTC) anjuran Creative Seven Legacy bertujuan membentuk masyarakat untuk lebih positif tentang penerimaan rupa bentuk fizikal.

Program tersebut turut disokong Pemadam yang komited dalam usaha memperkasakan minda sihat serta menjauhi diri daripada penyalahgunaan DARVIH (Dadah, Arak, Rokok, Inhalan dan HIV/Aids).

Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata, saringan berkenaan akan dipergiatkan lagi pada tahun hadapan bagi tujuan pengumpulan data dan rujukan untuk mengenal pasti lokasi 'hot spot'.

"Statistik di Selangor menunjukkan ada peningkatan kes, namun kadar (peratusan) adalah lebih rendah berbanding beberapa negeri lain.

"Usaha pencegahan dan kawalan akan dipergiatkan.

"Walaupun kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan khusus bagi program tersebut, namun mendapat sokongan dana daripada badan korporat dan anak syarikat kerajaan negeri yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya.

Beliau yang baharu dilantik Pengerusi Pemadam Selangor juga meletakkan sasaran untuk menggerakkan program belia khususnya jelajah peringkat daerah dan sekolah yang akan melibatkan pihak AADK.