Suami isteri direman tiga hari bantu siasatan salah guna kuasa

Kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kira-kira jam 9.40 pagi pada Isnin.
Kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kira-kira jam 9.40 pagi pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna jawatan melibatkan perolehan kerja yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Perintah tahanan reman ke atas dua suspek berusia lewat 30-an dan isterinya berumur 40-an itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood bermula Isnin sehingga Rabu bagi membolehkan siasatan dilakukan bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek pertama akan ditahan di lokap SPRM Terengganu sementara isterinya ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9.40 pagi.

SPRM pada Ahad telah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

Suspek pertama yang merupakan seorang pegawai awam negeri ditahan kira-kira jam 6 petang pada Ahad, sementara isterinya ditahan sekitar jam 3.30 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

Suspek disyaki mengesyorkan syarikat milik ibu bapanya yang diuruskan oleh isterinya bagi mendapatkan perolehan kerja di sebuah jabatan kerajaan di Terengganu sejak 2019.