Kongsi gelap rekrut pelajar sekolah jadi samseng, edar dadah

Kamarul Zaman (tengah) beramah mesra dengan penerima dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor di IPKJohor, Johor Bahru pada Rabu.
Kamarul Zaman (tengah) beramah mesra dengan penerima dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor di IPKJohor, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengesan kumpulan kongsi gelap dikenali Geng Hong Hong San dan Ngo Sek Kee di negeri ini merekrut ahli baharu membabitkan pelajar sekolah menengah untuk menyertai mereka dan melakukan aktiviti jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, terdapat dua kejadian pelajar dipukul dan direkrut untuk masuk kumpulan mereka selain menggalakkan gengsterisme dalam kalangan pelajar di sekolah.

"Kita lihat ada beberapa kongsi gelap aktif melakukan perbuatan ini dan dalam pemantauan kita.

"Semua pelajar yang direkrut ini akan diajar menjadi pengedar dadah, 'fighter', 'general' dan 'tiger general' ikut hierarki kumpulan kongsi gelap terbabit. Sasaran kumpulan kongsi gelap ini pelajar di kawasan bandar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor, antara Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias kepada Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Rabu.

Katanya, bagi kes berkenaan, enam lelaki telah dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966 di Mahkamah Majistret Muar, 17 Oktober lalu dengan dua daripadanya mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM3,000.

"Justeru kita minta agar masyarakat peka dengan perkara ini dan salurkan maklumat kepada polis supaya tindakan diambil selain menasihatkan guru-guru supaya laporkan kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) berhubung kegiatan kongsi gelap itu," ujar beliau.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 41 saat mengenai kejadian pergaduhan yang tular dalam media sosial antara dua kumpulan lelaki tempatan di Jalan Marin 10, Taman Marin, Sungai Abong, Muar, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Bertindak atas maklumat tersebut, pada 5 hingga 22 Oktober lalu, satu operasi dilancarkan di bawah Op Cantas terdiri daripada Bahagian D7 Kongsi Gelap Bukit Aman dan Bahagian D7 Kontinjen Johor bagi menangkap ahli-ahli kongsi gelap yang terlibat.

"Operasi turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang, Iskandar Puteri dan Kulai itu turut melakukan siri tangkapan di Selangor, Pahang, Melaka, Muar dan Johor Bahru.

"Seramai 25 lelaki tempatan berumur antara 14 hingga 58 tahun yang merupakan ahli kongsi gelap kumpulan Hong Hong San, Ngo Sek Kee dan juga Gee Ah Eng ebrjaya ditangkap dalam operasi terbabit," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966 iaitu menghasut seseorang supaya menjadi anggota suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati punca pergaduhan akibat perselisihan faham dan pertengkaran mulut dalam majlis sambutan Moon Cake Festival di sebuah premis kedai kopi di Sungai Abong.

"Hasil pemeriksaan tubuh badan mendapati tiga suspek mempunyai tatu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

"Bagi kes ini, sembilan lelaki tempatan berjaya dituduh di Mahkamah Majistret Muar di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan pada 29 Oktober lalu. Semua tertuduh mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM3,000," katanya.