Pembunuh Along Spoon bebas hari ini

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas anggota polis berpangkat lans koperal, Mohd Ya’cob Demyati yang membunuh penyanyi kumpulan Spoon era 90-an, Allahyarham Along dibebaskan dari Penjara Kajang, pada Khamis.

Peguamnya, Che Muji Che Noh berkata, Mohd Ya’cob, 57, telah selesai menjalani hukuman 33 tahun bermula tarikh tangkap, 4 Januari 2000.

“Insya-ALLAH, dia bebas hari ini, hukuman penjara itu termasuk satu pertiga daripada cuti dan lain-lain, itu undang-undangnya.

"Bermakna dia telah selesai menjalani hukuman penjara selama 33 tahun.

“Saya turut menghujah, anak guam telah berkelakuan baik maka ia menjadi faktor mahkamah perlu ambil kira hukuman tersebut,” katanya.

Pesalah yang berasal dari Johor itu dijangka dibebaskan pada jam 5 petang.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, Mohd Ya’cob terlepas hukuman penjara sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan di sini meminda hukuman tersebut kepada penjara 33 tahun.

Keputusan sebulat suara diputuskan panel lima hakim, diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan permohonan semakan lelaki itu selaku pemohon.

Artikel Berkaitan:

Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan serta Datuk Abu Bakar Jais memerintahkan hukuman berkenaan bermula tarikh tangkap, berserta sebatan.

Bagaimanapun, pesalah itu terlepas hukuman sebatan kerana dia telah berusia lebih setengah abad.

Berdasarkan Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah 2007, pesalah wanita, individu yang dijatuhi hukuman mati dan pesalah berumur lebih 50 tahun, tidak boleh dikenakan sebatan.

Penggantian hukuman tersebut dibuat susulan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023 dikuatkuasakan, empat bulan lalu.

Pada 2 November 2010, Mohd Ya'cob kekal dihukum gantung atas kesalahan membunuh Along atau nama sebenarnya Sabi'ul Malik Shafiee setelah rayuan akhirnya ditolak Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi memutuskan demikian setelah berpuas hati bahawa keterangan ikut keadaan yang disandarkan pendakwa raya ialah kukuh untuk mensabitkan perayu atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah ketika itu sebulat suara berpendapat, keterangan-keterangan tersebut juga mencukupi untuk menolak andaian kononnya penyanyi kumpulan remaja itu diculik dan dibunuh oleh individu lain.

Sehubungan itu, Zaki yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong berpuas hati bahawa tiada sebab bagi panel tersebut menolak penemuan hakim bicara ketika mensabitkan perayu.

Dengan itu, panel berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan pada 10 April 2002 yang mensabitkan anggota polis tersebut serta Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya pada 29 Ogos 2008.

Hukuman itu kemudiannya diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya, pada 7 Ogos 2012.

Mengikut pertuduhan Mohd Ya'cob yang merupakan bertugas di cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Sabi'ul Malik, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.

Sebelum itu, Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999.

Polis kemudian menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.

Menerusi maklumat di Portal Rasmi Jabatan Penjara Malaysia, maksud banduan seumur hayat ialah banduan yang menjalani hukuman sepanjang hayat dan tiada tarikh pembebasan, kecuali mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri di mana kesalahan tersebut dilakukan.

Sementara hukuman seumur hidup ialah banduan perlu menjalani hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun.