Segerakan agenda reformasi dalam institusi - Rasuah Busters

Jabatan Peguam Negara. Gambar kecil: Norhayati
Jabatan Peguam Negara. Gambar kecil: Norhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan reformasi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti Governans dan Anti Rasuah (IGAR) berhubung pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwaraya serta penggubalan Akta Pendanaan Politik perlu dilaksanakan segera, teratur dan efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, ia sebagai mana yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya, dan Reformasi Institusi baru-baru ini.

Menurutnya, penglibatan KRPPM-IGAR dalam mesyuarat tersebut serta perbincangan mengenai cadangan-cadangan itu menandakan perkembangan positif dalam perlaksanaan reformasi institusi dan perundangan di negara ini.

"KRPPM-IGAR mencipta sejarah apabila badan yang diiktiraf Parlimen dan dipengerusikan Syed Ibrahim Syed Noh tersebut turut dilibatkan dalam Mesyuarat JKPK mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya, dan Reformasi Institusi baru-baru ini.

"Dua daripada empat cadangan reformasi institusi utama melibatkan KRPPM berkenaan iaitu pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwaraya serta penggubalan Akta Pendanaan Politik telah dibincangkan pada 26 Oktober dan 9 November lalu.

"Ia bertujuan memulihkan sebarang kelemahan sistem yang ada sekali gus meningkatkan kredibiliti Malaysia sebagai Negara yang progresif, berakauntabiliti dan bebas rasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, selaku Sekretariat KRPPM, #RasuahBusters berharap cadangan-cadangan lain yang telah dikemukakan, turut diletakkan dalam senarai keutamaan untuk perubahan yang dihasratkan.

Cadangan tersebut antaranya Reformasi Parlimen dan SPRM, penggubalan undang-undang Perolehan, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, dan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Artikel Berkaitan:

"Rekomendasi berdasarkan cabaran semasa, dan cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang melibatkan Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain akta turut dibincangkan.

"Peluang partisipatif berterusan masyarakat sivil dalam pembuatan polisi Negara oleh pihak Parlimen dan pembuat dasar akan meningkatkan kepercayaan awam dan ia membentuk platform komunikasi efektif dua hala untuk menghasilkan solusi bermanfaat demi kesejahteraan rakyat seluruhnya," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Syed Ibrahim berkata, tuntutan kumpulan itu mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya misalnya telah mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang kini dalam peringkat perincian sebelum ia dapat dilaksanakan.