Tuntutan KRPPM-IGAR tunjuk petanda positif untuk dilaksanakan

Syed Ibrahim bergambar bersama pasukan kumpulan selepas selesai mesyuarat KRPPM-IGAR di Bilik Mesyuarat 2, Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia pada Khamis.
Syed Ibrahim bergambar bersama pasukan kumpulan selepas selesai mesyuarat KRPPM-IGAR di Bilik Mesyuarat 2, Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuntutan yang dicadangkan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) berhubung membawa agenda reformasi dalam institusi, kini memasuki fasa baharu dan menunjukkan petanda positif untuk dilaksanakan.

Pengerusi KRPPM-IGAR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tuntutan kumpulan itu mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya misalnya telah mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang kini dalam peringkat perincian sebelum ia dapat dilaksanakan.

"Berhubung perkembangan tuntutan mengenai pemisahan itu, kini ia telah dibincangkan dan menerima respons positif daripada kerajaan.

"Saya dimaklumkan beberapa perkara telah segera diambil tindakan oleh kerajaan iaitu yang pertama mereka telah menubuhkan pasukan petugas khas, iaitu membuat kajian komparatif, yang kedua adalah pasukan kajian teknikal, kemudiannya telah dibincangkan dalam mesyuarat dua hari lepas juga fasa penguatkuasaan.

"Namun disebabkan ia melibatkan pindaan undang-undang yang besar ia akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan," katanya kepada Sinar Harian selepas mempengerusikan mesyuarat KRPPM-IGAR di Bilik Mesyuarat 2, Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia, pada Khamis.

Hadir sama, ahli-ahli kumpulan iaitu Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufik Johari; Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khiruddin; Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin; Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin dan lain-lain.

Terdahulu, Azalina di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kajian bagi melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan melalui tiga fasa, mengambil kira kompleksiti dan cabaran dihadapi serta memastikan ia dibuat secara terperinci dan holistik.

Selain itu, kajian yang dilaksanakan dua pasukan yang ditubuhkan, iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal, akan memastikan pengasingan itu dapat dilaksanakan tanpa sebarang pengaruh politik dan urusan undang-undang di bawah Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara telus.

Artikel Berkaitan:

Kata Azalina fasa pertama, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif sedang menjalankan kajian berdasarkan keterangan ke atas beberapa negara bagi meneliti dan merangka model paling sesuai dalam konteks Malaysia, dengan mengambil kira 'hawcross principle' dan 'doctrine of independent aloofness'.

Mengulas lanjut, Syed Noh berkata, untuk lain-lain tuntutan kumpulan itu akan terus digerakkan bagi memastikan reformasi menyeluruh terhadap institusi di negara dapat dilaksanakan.

"Disebabkan oleh pasukan ini mempunyai kepakaran masing-masing kita akan gerakan mengikut kapasiti, kerana akhirnya kita mahu melihat reformasi dapat dilakukan," katanya.

Selain tuntutan terhadap Pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya, kumpulan ini juga mencadangkan reformasi institusi merangkumi pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, pemisahan peranan peguam negara daripada fungsi pendakwa raya, penggubalan akta perolehan kerajaan dan akta pendanaan politik, reformasi Parlimen dan implementasi penuh Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!