Pemisahan kuasa kunci kestabilan negara

Norhayati Nordin. Laporan Sinar Harian pada Isnin
Norhayati Nordin. Laporan Sinar Harian pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Komitmen kerajaan untuk melaksanakan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi kunci kepada kestabilan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, usaha itu harus dilaksanakan segera kerana sudah lama rakyat mahu melihat perubahan dan keadilan itu ditegakkan dengan sebenar-benarnya.

“Rasuah Busters mengucapkan syabas kepada kerajaan yang memberikan komitmen dalam melaksanakan pemisahan kuasa.

“Apa yang ingin kita nyatakan adalah, usaha ini mesti diteruskan. Segala bentuk reformasi institusi yang dicadangkan pihak Rasuah Busters serta rakan gabungan, kita harap dilaksanakan secara efektif iaitu segala mekanisme yang diperlukan seperti ketelusan dan akauntabiliti semasa pelaksanaan proses ini berlangsung.

“Perkara yang paling penting adalah kerajaan perlu ‘bebas’ ketika merangka bentuk undang-undang dan perlu melaporkan kemajuan kepada proses yang sedang dan akan dilaksanakan, terutamanya dalam soal pemisahan kuasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Isnin, bahawa kerajaan komited dalam usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan integriti institusi perundangan terpelihara.

Dalam pada itu, Norhayati juga percaya bahawa usaha itu adalah respons daripada sebahagian daripada tuntutan pasukan Rasuah Busters dan mengharapkan keterangkuman serta penyertaan daripada masyarakat sepanjang proses reformasi itu berlangsung.

“Kita tak mahu timbulnya persepsi, kerajaan tidak mempunyai input yang mencukupi daripada pemegang taruh. Bila kita (Rasuah Busters) kemukakan pandangan daripada semua pihak secara saksama, ia harus diambil kira oleh kerajaan dalam usaha melakukan pemisahan kuasa.

Artikel Berkaitan:

“Tapi, apa yang paling penting adalah garis masa yang perlu ditetapkan dengan jelas. Jadi, kita boleh mengagak pelaksanaan reformasi berkenaan dapat dilaksanakan dan kerajaan bertanggungjawab untuk mematuhi garis masa yang ditetapkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, sebarang potensi korupsi, salah guna kuasa atau unsur rasuah sendiri dalam proses implimentasi itu berlangsung, harus dielakkan sama sekali.

Ia bermaksud, kebebasan institusi Peguam Negara dan Pendakwa Raya harus diperkukuhkan dalam tempoh tersebut.