Pas mesyuarat esok tentukan calon PRK Kemaman

Muhammad Sanusi (kiri) ketika menghadiri majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Padang Astaka pada malam Jumaat.
Muhammad Sanusi (kiri) ketika menghadiri majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Padang Astaka pada malam Jumaat.
A
A
A

KEMAMAN - Pas akan bermesyuarat pada Ahad bagi menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan Ibu Pejabat Pas Pusat di Kuala Lumpur.

"Kita akan bermesyuarat pada 12 November (Ahad) untuk menentukan siapa calon yang akan dipilih bertanding di Kemaman.

"Mengenai siapa calon tu kita akan umumkan pada Khamis depan di Chukai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera PRK tersebut, di Padang Astaka Kemaman, di sini.

Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak memperincikan latar belakang calon yang akan diketengahkan pada pilihan raya itu.

Mengulas mengenai persiapan jentera parti, katanya, mereka kini bersiap siaga untuk berdepan pilihan raya.

"Kita bersedia sepenuhnya untuk bekerja keras pada PRK ini dan hanya tunggu gendang dipalu sahaja.

"Kita juga yakin dapat menambah majoriti lebih tinggi hingga 30,000 undian berbanding yang dicapai sebanyak 27,000 undi sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) lalu, calon Pas, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi menewaskan pesaingnya dalam pertarungan empat penjuru.

Alias berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab Ghani hanya memperoleh 506 undian.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan berlaku perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Sebelum ini, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Kemaman dijadualkan pada 18 November depan, hari mengundi awal pada 28 November dan hari mengundi pada 2 Disember.