PRK Kemaman: BN ketengah calon baharu anak tempatan

Calon BN yang akan diketengahkan dalam PRK Kemaman merupakan seorang yang berpengaruh dan belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.- Foto Bernama
Calon BN yang akan diketengahkan dalam PRK Kemaman merupakan seorang yang berpengaruh dan belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Barisan Nasional (BN) yang akan diketengahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman merupakan seorang yang berpengaruh dan belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Nik Dir Wan Ku berkata, calon berkenaan merupakan seorang yang berkaliber dan telah mendapat kepercayaan di semua peringkat kepimpinan parti.

"Apa yang pasti calon yang akan diangkat nanti ialah calon baharu, di luar kepimpinan UMNO Bahagian (Kemaman), orang yang telah ada nama dan berpengaruh serta merupakan anak tempatan.

"Walaupun calon berkenaan merupakan individu luar dari bahagian (UMNO Bahagian Kemaman) namun pencalonannya telah dipersetujui oleh semua peringkat kepimpinan termasuk akar umbi parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Nik Dir bagaimanapun tidak mengulas ketika ditanya sama ada calon tersebut merupakan calon muda atau sebaliknya.

"Tak boleh kata muda atau tua sebab kalau saya kata muda, takut nanti bila umum calon tua pula," ujarnya berseloroh.

Menurut Nik Dir, Ketua UMNO Bahagian Kemaman (Datuk Seri Ahmad Said) mungkin lebih mengetahui latar belakang calon yang akan diketengahkan dalam PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember nanti.

"Benda ni (pemilihan calon) sebenarnya kita tak bincang dalam UMNO Perhubungan dan kita serah kepada Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Presiden Parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita serah kepada beliau (Ahmad Said) untuk bincang dengan Presiden Parti. Kami di peringkat perhubungan (UMNO Terengganu) memberi tumpuan terhadap persiapan jentera parti," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, BN Terengganu menyasarkan untuk mendapat undi lebih tinggi berbanding yang dicapai dalam dua pilihan raya sebelum ini (Pilihan Raya Umum ke-15) dan Pilihan Raya Negeri).

"Sasaran kita sertai pilihan raya memang semua nak menang tapi kalau boleh dapat kurangkan majoriti (pihak lawan) tu kita bersyukur.

"Mengenai persediaan pilihan raya, ada perkara-perkara lain yang kita sedang susun sekarang antaranya sasaran, gerak kerja dan jentera parti. Kita juga bersiap siaga untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan banjir dan bencana banjir luar jangka," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Kemaman dijadualkan pada 18 November depan, hari mengundi awal pada 28 November dan hari mengundi pada 2 Disember.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan berlaku perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Sebelum ini, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.