PRK Kemaman: PN dijangka umum calon 16 November

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 16 November ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat yang akan diadakan dalam tempoh terdekat termasuk mengenai calon yang akan dipilih untuk bertanding.

"Saya percaya mungkin dalam beberapa hari akan datang akan ada mesyuarat kepimpinan untuk buat keputusan setelah meneliti kajian-kajian yang dibuat.

"Saya difahamkan cadangan tarikh untuk umum (calon) pada 16 November, namun kita menunggu pengumuman rasmi daripada Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) atau kepimpinan Pas negeri.

"Setakat ni (difahamkan) tarikh umum calon 16 November mungkin di Chukai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri tidak mengulas lanjut sama ada beliau antara calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya itu.

"Itu saya tidak tahu sebab Pas tidak bermesyuarat lagi," katanya.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan berlaku perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Kemaman dijadualkan pada 18 November depan, hari mengundi awal pada 28 November dan hari mengundi pada 2 Disember.