Ahmad Said umum tidak tanding PRK Kemaman

Ahmad Said ketika berucap sempena Majlis Ramah Mesra Jentera PRK Parlimen Kemaman peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai pada malam Sabtu.
Ahmad Said ketika berucap sempena Majlis Ramah Mesra Jentera PRK Parlimen Kemaman peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai pada malam Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang akan diadakan pada 2 Disember nanti.

Perkembangan itu dimaklumkan sempena Majlis Ramah Mesra Jentera PRK Parlimen Kemaman peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di sini, malam Sabtu.

"Saya nak maklum bahawa Datuk Seri Ahmad Said telah mencadangkan untuk tidak bertanding di Parlimen Kemaman (PRK Kemaman).

"Maknanya bukan saya jadi calon dan calon (yang akan bertanding) ialah antara nama-nama hebat dan terkemuka (dalam UMNO)," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Ahmad berkata, pengumuman calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu akan dibuat oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis khas di Kuala Lumpur pada 13 November depan.

"Insya- ALLAH pada 13 November nanti presiden parti akan umum calon akan bertanding di Kemaman.

"Saya dah bincang bersama beliau serta telah maklumkan nama calon yang akan bertanding," katanya.

Beliau berkata, Ahmad Zahid juga telah maklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nama calon yang akan bertanding.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya harap tiada lagi kedengaran spekulasi-spekulasi yang dibuat mengenai calon yang akan bertanding," katanya.

Ahmad berkata, PRK Kemaman akan turut menyaksikan penglibatan bantuan jentera dari seluruh negara termasuk MCA dan MIC bagi membolehkan BN meraih peningkatan undi bagi setiap cawangan.

“Kita akan buat konsep anak angkat dan bapa angkat yang mana setiap bahagian akan jaga satu cawangan.

"Kita ada 109 cawangan jadi bagi cawangan-cawangan yang besar mungkin akan dibantu oleh dua bahagian," ujarnya.

Menurut Ahmad, PRK Kemaman penting bagi menentukan sokongan dua pertiga kerusi kerajaan di Parlimen.

"Sekarang kita ada 147 kerusi, sebelum ini 148 kerusi. Jadi pilihan raya di Kemaman ini sebagai penentu kerusi ke 148.

"Kita harap orang Kemaman akan cipta sejarah tersendiri,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Ahmad tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid yang menang dengan majoriti 27,179 undi.

Pertarungan empat penjuru ketika itu menyaksikan Che Alias meraih 65,714 undi menewaskan Ahmad (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Susulan itu, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.