'Hubungan Pas-Bersatu tidak tergugat, ahli Parlimen sokong PM sebab terdesak'

Mujibu dan Mohammad Tawfik
Mujibu dan Mohammad Tawfik
A
A
A

SHAH ALAM - Hubungan rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) terutama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat masih utuh dan tidak tergugat meskipun ada ahli Parlimen pembangkang yang berani bertindak 'menongkah arus' secara terbuka.

Malah Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berpandangan, tindakan dua ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga disifatkan sebagai langkah terdesak.

"Tidak melibatkan isu parti dalam kes ini (sokong Anwar). Hubungan Pas-Bersatu masih nampak utuh dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman bakal tiba.

"Maka apa sahaja perkara yang menggugat pakatan tentu berpotensi menjejaskan gabungan, namun saya masih lihat kedua-dua parti tidak akan meninggalkan masing-masing dalam jangka masa pendek atau sederhana," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dari Bersatu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang menyatakan sokongan kepada pimpinan Anwar dengan mengambil kira permasalahan rakyat di kawasan mereka.

Suhaili turut dilapor menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Melihat kepada situasi berkenaan serta sifat politik parti yang dinamik, Mujibu berpendapat, tidak mustahil peralihan sokongan akan berlaku dalam jangka masa yang panjang.

"(Ketika ini) Akta Anti Lompat Parti berkuatkuasa dan meninggalkan satu sama lain tidak memberi apa-apa kelebihan buat mana-mana parti sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Namun kita mungkin boleh menjangkakan akan ada ramai lagi yang berbuat perkara sama atas faktor terdesak, selain melihat pilihan politik masa depan dalam konteks parti dan peribadi," ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, pemimpin dan ahli Pas perlu sedar bahawa parti itu tidak boleh bergantung kepada rakan sekutu dalam mengemudi PN.

Beliau berkata, parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu akan tenggelam dalam arus kepimpinan politik pembangkang kerana Bersatu bergantung kepada kekuatan jentera Pas untuk menang pilihan raya.

"Bersatu masih jauh ketinggalan untuk melatih kesetiaan kalangan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN), ahli Parlimen dan pemimpin berbanding Pas yang kuat dengan wala serta kesetiaan kepada pemimpin, parti.

"Kekuatan Bersatu ketika ini seolah-olah 'palsu' kerana terlalu bergantung kepada Pas dan isu semasa orang Melayu berbanding kekuatan teras perjuangan.

"Sebahagian pemimpin dan ahli juga daripada serpihan UMNO dan sudah semestinya DNA UMNO ada dalam diri mereka," jelasnya.