UMNO mungkin namakan 'calon langsung' pada PRK Kemaman

Ahmad Zahid (dua dari kanan) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Retreat Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong pada Sabtu.
Ahmad Zahid (dua dari kanan) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Retreat Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO tidak menolak kemungkinan akan menggunakan kaedah calon langsung (direct candidate) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember nanti.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah calon langsung tanpa melihat hierarki jawatan individu tersebut dalam parti pernah dilakukan ketika memilih calon bertanding sebelum ini.

Beliau menyifatkan, kaedah 'direct candidate' atau calon langsung yang digunakan bagi memastikan kemenangan parti didapati telah diterima dengan baik.

"Besar kemungkinan kaedah yang sama akan kita lakukan di Kemaman. Insya-ALLAH.

"Yang penting bukan hanya kemenangan tetapi sekurang-kurangnya majoriti seteru politik kita boleh dikurangkan. Itu adalah indikasi kepada kejayaan yang akan kita mulakan di Kemaman," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Retreat Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ahmad Zahid menambah, UMNO kini dalam proses menyusun semula struktur organisasi dan jentera pilihan raya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Artikel Berkaitan:

"Kita mempunyai tempoh 36 bulan dari sekarang untuk persediaan menghadapi PRU16.

"Walaupun agak terlalu awal, tapi kita mesti ambil beberapa tindakan terutamanya dalam penyatuan pemikiran kepimpinan peringkat negeri bahagian dan cawangan.

"Langkah yang dilakukan ini Insya-ALLAH akan diikuti negeri-negeri lain. Beberapa kaedah untuk struktur organisasi di peringkat pelaksanaan jentera pilihan raya juga akan dirombak, kita akan mulakan dalam PRK Kemaman," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, calon calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Datuk Seri Ahmad Said (Barisan Nasional), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).

PRK Kemaman akan diadakan 2 Disember ini selepas Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!