PH komited teruskan peruntukan ADUN pembangkang tadbir Melaka - Adly

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) komited meneruskan pemberian peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang jika kembali mentadbir Melaka, seperti dilakukan ketika menjadi kerajaan negeri pada 2018.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pemberian peruntukan itu wajar bagi memastikan semua wakil rakyat mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab dan berkhidmat kepada masyarakat.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, ketika PH mentadbir Melaka pada 2018, mereka menjadi kerajaan negeri pertama yang memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang.
"Berdasarkan pengalaman saya sebagai pembangkang, ketiadaan peruntukan menyukarkan ADUN untuk menguruskan pusat khidmat dan membantu masyarakat di kawasan.
"Kalau kita menjadi ADUN (tetapi) langsung tiada peruntukan, ia amat menyukarkan. Paling tidak, perkara asas ialah peruntukan untuk operasi pusat khidmat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Adly berkata, walaupun terdapat peruntukan menerusi pejabat daerah dan agensi kerajaan, sumber kewangan daripada kerajaan negeri untuk ADUN amat diperlukan untuk manfaat rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan.
Menyentuh aspek reformasi pentadbiran kerajaan negeri, calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu berhasrat memperluas inisiatif pendigitalan, antaranya menerusi sistem Smart Melaka sebagai medium permohonan bantuan dan aduan rakyat.
Kaedah itu, menurut beliau bertujuan memastikan pengagihan bantuan dan usaha menangani masalah rakyat dilaksanakan dengan lebih telus tanpa dipengaruhi faktor politik.
"Menerusi pendekatan ini, setiap permohonan bantuan dan aduan diterima wakil rakyat akan direkodkan dalam sistem sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan termasuk keputusan kelulusan atau penyelesaian masalah.
"Pelaksanaan sistem pendigitalan juga membolehkan rakyat mengetahui status aduan dikemukakan termasuk berkaitan infrastruktur seperti parit tersumbat dan pokok tumbang. Ini juga memudahkan kerajaan memantau tindakan yang diambil,” katanya.
Merujuk kepada DUN Bukit Katil, Adly berkata, sebanyak 255 aduan penduduk diterima sejak hujung tahun lepas dengan 231 daripadanya berjaya diselesaikan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 101 permohonan melibatkan isu parit, saliran dan infrastruktur manakala lebih 80 berkaitan kebajikan termasuk keperluan peralatan kesihatan serta bantuan untuk anak menjalani rawatan kesihatan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Adly berhadapan saingan empat penjuru, iaitu Muhammad Ridzuan Mohd Sarif yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Dr Aliza Che Amran (Parti Bersama Malaysia) dan Abu Bakar Sabudin (Bebas).
Pada PRN Melaka 2021, beliau memenangi kerusi DUN Bukit Katil dengan majoriti 1,057 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16 manakala pengundian awal pada 10 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
