Perhalusi semula keputusan mansuh elaun kritikal sektor kesihatan

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa kerajaan memperhalusi semula keputusan pemansuhan elaun penjawat awam terutama Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada pekerja baharu dalam sektor kesihatan.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, keputusan pemansuhan BIPK akan memberi kesan terhadap tahap perkhidmatan di hospital kerajaan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan mengunjurkan bilangan pesakit akan bertambah empat kali ganda daripada 17 juta kepada 77 juta namun bilangan doktor dan kemudahan fasiliti tetap sama.

"Bertambah malang apabila beberapa minggu lepas, kerajaan mengumumkan bahawa caj servis perkhidmatan doktor swasta akan ditentukan oleh hospital swasta tanpa mengikut had yang dikenakan sebelum ini.

"Pemuda Ikatan menjangkakan ramai anak muda dan doktor berpengalaman akan beralih ke pusat perubatan swasta. Pada masa yang sama, hospital kerajaan akan kekurangan doktor sedangkan pesakit semakin bertambah," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Shahir, kesan pemansuhan BIPK itu menyebabkan rakyat menderita terutama golongan B40 yang mungkin ditindas kerana tidak mendapat perkhidmatan terbaik di hospital kerajaan.

"Pesakit tidak akan ke hospital swasta kerana kos yang tinggi. Akhirnya, kesihatan rakyat dan institusi kesihatan negara kita akan lumpuh," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan penerima BIPK sedia ada tidak akan terjejas dengan pemansuhan BIPK kerana melibatkan pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan berita pemansuhan elaun kritikal yang turut membabitkan bidang perubatan telah menimbulkan kegusaran penjawat awam.

Penamatan elaun itu dirujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 yang dikeluarkan 20 Disember 2019.

Sebanyak lapan jenis elaun penjawat awam akan dihapuskan antaranya ialah Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Khas Penolong Pemungut Hasil Tanah, Insentif Profisiensi Bahasa Inggeris, Bayaran Insentif Angkat Najis, Elaun Kritikal Doktor dan lain-lain.