E-Anfun bantu tangani pencemaran bau

Nik Nazmi (tengah) dan Syed Alwi (dua dari kanan) bergambar selepas Majlis Perasmian Persidangan Pertama ReTHINK 2023 di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Nik Nazmi (tengah) dan Syed Alwi (dua dari kanan) bergambar selepas Majlis Perasmian Persidangan Pertama ReTHINK 2023 di Kuala Lumpur, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMP Holdings Sdn Bhd (UMPH) anak syarikat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan peranti automatik pengesan bau yang inovatif, E-Anfun di Persidangan Pemikiran Semula Kelestarian Masa Depan (ReTHINK 2023) julung kali diadakan di sini, pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif UMPH, Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu direka bertujuan untuk menangani isu pencemaran bau yang dihadapi negara dan global.

"Produk ini dibangunkan oleh dua penyelidik UMPSA, Dr Saiful Nizam Tajuddin dan Dr Muhammad Sharfi Najib berfungsi untuk mengesan termasuk memberi amaran awal kepada industri terlibat jika terdapat penyebaran atau kebocoran mencetus kepada pencemaran bau.

"Kita mahu memastikan akses air bersih kepada masyarakat terjaga selain meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam negara ini," katanya.

Nik Nazmi (tiga dari kiri) ditunjukkan rekaan E-Anfun.
Nik Nazmi (tiga dari kiri) ditunjukkan rekaan E-Anfun.



Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas Majlis Pembukaan Persidangan Pertama ReTHINK 2023, yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tambah Syed Alwi, pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan Transwater Environmental Services Sdn Bhd (TESSB) bagi memasarkan dan mempromosikan peranti tersebut di peringkat antarabangsa.

"Ini sebagai usaha memupuk persekitaran dunia yang lebih bersih dan hijau," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi Nik Nazmi, ciptaan inovasi tersebut merupakan penggerak bagi mencapai kelestarian alam sekitar yang lebih mampan.

"Saya juga yakin perbincangan dalam persidangan ini dapat menghasilkan idea baharu dan penyelesaian inovatif untuk mengatasi cabaran serius bagi perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar," katanya.