Pencemaran bau: JAS tidak tergesa-gesa buat kesimpulan

Pihak JAS mengambil sampel daripada sebuah kilang yang menjalankan aktiviti menyimpan dan memproses minyak sawit enapcemar di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, Johor Bahru bagi mengesan punca pencemaran bau.
Pihak JAS mengambil sampel daripada sebuah kilang yang menjalankan aktiviti menyimpan dan memproses minyak sawit enapcemar di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, Johor Bahru bagi mengesan punca pencemaran bau.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor tidak tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan berkenaan punca pencemaran bau yang dikesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan Sekolah Agama Ulu Tiram dekat sini pada Selasa.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, siasatan menyeluruh dan ujian perlu dilakukan bagi mendapatkan bukti yang menjadi penyumbang insiden pencemaran itu.

Menurutnya, usaha tersebut masih dilakukan secara bersepadu yang sudah masuk hari kelima pada Jumaat melibatkan pelbagai jabatan berkaitan.

"Sehingga kini kita masih belum dapat mengesan bukti konkrit punca pencemaran pada satu tempat yang menjadi punca.

"Oleh itu, kita tidak boleh tergesa-gesa membuat konklusi sehingga dapat kesan bukti yang kukuh. Apa yang boleh kita pastikan, keadaan telah pulih dan terkawal," jelasnya.

Raven (tengah) melakukan pemeriksaan di sebuah kilang memproses minyak sawit enapcemar di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis.
Raven (tengah) melakukan pemeriksaan di sebuah kilang memproses minyak sawit enapcemar di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran MATTA Fair di Austin Convention Central dekat sini pada Jumaat.

Selasa lalu, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan Sekolah Agama Ulu Tiram dilaporkan mengalami simptom pening dan muntah berikutan pencemaran sisa kimia, dipercayai dibuang di sungai berhampiran.

Susulan itu, pada Rabu pula, seramai 11 penduduk dari kampung sekitar dua sekolah berkenaan mengalami simptom yang sama selepas pihak Pejabat Kesihatan Daerah melakukan pemeriksaan dan soal selidik dari rumah ke rumah.

Mengulas lanjut, Raven berkata, JAS Johor tidak dapat membuktikan berlakunya pembuangan sisa terjadual ke Sungai Tiram yang pada awalnya disyaki menjadi punca pencemaran bau itu.

Jelasnya, pemantauan telah dilakukan di kawasan sungai tersebut namun tidak menemukan sebarang kesan pencemaran termasuk keputusan ujian sampel air sungai yang telah diambil tidak menunjukkan kandungan bahan kimia atau bacaan abnormal.

Sebaik laporan pencemaran diterima katanya, pihak JAS Johor dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) turun ke lokasi bagi mengesan punca pencemaran.

"Pemantauan dibuat di Sungai Tiram yang berhampiran sekolah itu tidak menemukan perkara meragukan. Sekiranya ada pencemaran di sungai ia pasti dapat dikesan.

"Walaupun ia telah dialirkan air sungai, pasti meninggalkan sisa di tebing sungai namun tiada sebarang kesan. Kualiti air juga dalam keadaan baik dan tiada apa-apa abnormal yang dikesan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

28 muntah, pening di sekolah akibat pencemaran bau kimia

[VIDEO] Penduduk trauma hidu bau busuk pencemaran kimia

JAS teruskan siasatan punca pencemaran bau di Ulu Tiram

Usaha kesan punca pencemaran bau diperluas pada radius 1 km