Usaha kesan punca pencemaran bau diperluas pada radius 1 km

Raven melakukan pemeriksaan di sebuah kilang memproses minyak sawit enap emar di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis.
Raven melakukan pemeriksaan di sebuah kilang memproses minyak sawit enap emar di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengambil sampel di enam kilang di Ulu Tiram di sini untuk mengenal pasti punca pencemaran bau yang dikesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan Sekolah Agama Ulu Tiram pada Selasa.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, hasil ujian daripada sampel itu mendapati enam kilang berkenaan yang kedudukannya berhampiran dua sekolah bukan punca pencemaran bau.

"Semua enam kilang tersebut adalah kilang yang sah dan bukan beroperasi secara haram. JAS akan perluaskan operasi mengenal pasti punca pencemaran ini di kilang lain dan perumahan komersial pada radius 1 kilometer (km) dari dua sekolah tersebut.

"Operasi ini akan dilakukan selama seminggu. Usaha ini dilakukan selepas pihak JAS melakukan pemeriksaan dan pemantauan di kilang, sungai, tapak pelupusan dan kawasan berhampiran dua sekolah.

"JAS juga mendapati bacaan dan kualiti air serta udara di situ adalah normal dan tiada lagi bau busuk," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Balai Raya Sungai Tiram pada Khamis, selepas melakukan lawatan di SK Ulu Tiram dan sebuah kilang yang menjalankan aktiviti menyimpan serta memproses minyak sawit enapcemar atau sludge plam oil (SPO) di Kampung Sungai Redan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Azizul Bachok dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir.

Raven bertemu dengan guru besar dan pihak pengurusan SK Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis
Raven bertemu dengan guru besar dan pihak pengurusan SK Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis

Pada petang Selasa, seramai 28 murid, guru, kerani dan pekerja kantin di dua sekolah terbabit mengalami pening dan muntah-muntah akibat pencemaran bau dipercayai daripada bahan kimia dengan tiga daripadanya dikejarkan ke klinik kesihatan.

Mengulas lanjut, Raven berkata, jumlah mereka yang terkesan dengan pencemaran tersebut semuanya 39 orang pada Selasa dan Rabu yang turut melibatkan penduduk setempat.

Tambah beliau, mangsa pencemaran bau itu melibatkan 28 orang terdiri daripada 23 murid, dua guru, dua pekerja kantin dan seorang kerani dari dua sekolah berkenaan pada Selasa.

"Seramai 11 orang lagi adalah penduduk dari kampung berdekatan dua sekolah tersebut. Jumlah ini didapati selepas pihak Pejabat Kesihatan Daerah melakukan pemeriksaan dan soal selidik dari rumah ke rumah semalam," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun semua mangsa yang mengalami gejala pening dan muntah-muntah itu tidak dimasukkan ke wad di mana-mana hospital.

Raven berkata, pada Khamis keadaan kembali normal dan sekolah terbabit sudah dibuka seperti biasa tetapi pihak JAS akan memantau dan meneruskan usaha mengesan punca pencemaran bau tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, menerusi siasatan JAS mulai jam 4 petang Selasa telah mengenal pasti sebuah kilang menyimpan bahan pepejal iaitu minyak sawit yang didapati beroperasi secara haram dipercayai sejak tiga tahun lalu.

Katanya, premis itu diarahkan tutup beroperasi dengan segera oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

"Kita tidak akan berkompromi dengan kewujudan kilang haram dan sekiranya ada operasi mana-mana kilang yang mencemari alam sekitar, tindakan sesuai akan dilakukan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

28 muntah, pening di sekolah akibat pencemaran bau kimia

[VIDEO] Penduduk trauma hidu bau busuk pencemaran kimia

JAS teruskan siasatan punca pencemaran bau di Ulu Tiram

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!