Langkawi miliki trend kemasukan pelancong tersendiri

Langkawi memiliki trend kemasukan pelancong tersendiri secara bermusim sepanjang tahun selain dipengaruhi pelbagai faktor. Gambar kecil: Mohd Salleh
Langkawi memiliki trend kemasukan pelancong tersendiri secara bermusim sepanjang tahun selain dipengaruhi pelbagai faktor. Gambar kecil: Mohd Salleh
A
A
A

ALOR SETAR - Langkawi memiliki trend kemasukan pelancong tersendiri secara bermusim sepanjang tahun selain dipengaruhi pelbagai faktor.

Exco Pelancongan Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, kehadiran pelancong juga bergantung kepada musim tengkujuh, kemarau selain cuti persekolahan.

Menurutnya, berdasarkan kajian Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), kemerosotan pelancong berlaku dalam bulan-bulan tertentu dan merupakan perkara normal di Langkawi.

“Data 2022 menunjukkan jumlah pelancong meningkat pada Jun, menurun pada Julai dan Ogos, meningkat semula pada September dan menurun pada Oktober sebelum menjunam dalam November.

"Kehadiran pelancong kembali melonjak pada Disember,” katanya di sini pada Khamis.

Mohd Salleh berkata, tumpuan yang diberikan kepada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada Julai dan Ogos lalu turut memberi kesan terhadap pelancongan.

“Ia ditambah dengan peningkatan kos sara hidup yang mengurangkan kuasa pengguna berbelanja dalam sektor pelancongan.

“Publisiti negatif yang disebarkan turut beri kesan, terutama yang menimbulkan persepsi Langkawi dengan harga 'kayangan',” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, jumlah kehadiran pelancong ke Langkawi setakat September adalah 2.04 juta, iaitu 64 peratus daripada sasaran kehadiran tahun ini.

“Sasaran hingga hujung tahun ini sebanyak 3.2 juta orang. Secara perbandingan, jumlah pelawat ke Langkawi menurun pada Jun sebanyak 12.72 peratus dan September 18.59 peratus berbanding tahun lalu.

“Jumlah pelancong meningkat selain dua bulan tersebut berbanding tahun lepas. Ini kebiasaan di Langkawi, iaitu ‘shoulder period’ pada Ogos-Oktober.

“Jumlah pelancong dijangka meningkat sempena cuti Deepavali dan cuti persekolahan penggal ketiga bermula 15 Disember hingga 1 Januari 2024,” jelasnya.

Mohd Salleh menyifatkan bukan hanya Langkawi berdepan situasi tersebut, malah turut dirasai pusat peranginan lain dalam negara.

“Jika dikatakan merosot, bukan Langkawi sahaja, tempat lain pun alami keadaan sama.

"Dari sudut ekonomi kita belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik Covid-19 dan dalam proses pemulihan. Jadi tidak adil jika mengharapkan limpahan pelancong sama seperti sebelum pandemik,” katanya.

Jelasnya, sekitar penghujung 2021 hingga tahun lepas, kadar kehadiran tinggi dengan mendadak susulan sektor pelancongan kembali diaktifkan menyebabkan orang ramai teruja untuk ‘makan angin’ selepas sekian lama di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya percaya apabila keadaan ekonomi stabil, kos sara hidup dapat diatasi, selain promosi dan aktiviti yang dirangka, kehadiran pelancong di Langkawi akan kembali melonjak.

“Saya sentiasa berusaha mengenal pasti sebanyak mungkin produk pelancongan yang berpotensi digilap selain menyelesaikan isu berbangkit berkaitan pelancongan. Langkawi tidak terkecuali,” jelasnya.

Mohd Salleh memaklumkan, pelbagai program dirangka untuk merancakkan lagi sektor pelancongan yang akan digerakkan secara berperingkat selepas melalui proses penelitian.

“Tahun ini, Langkawi menjadi tuan rumah dua acara antarabangsa, iaitu Langkawi International Maritime and Exhibition (LIMA) dan Ironman Malaysia.

“Lada mempromosikan Langkawi melalui sembilan program, antaranya ITB Berlin Jerman, Routes Asia Chiangmai Thailand serta Tourism Expo Japan. Sebanyak 19 acara pelancongan dirancang bagi tahun 2024,” katanya.

Menurutnya lagi, Lada turut menyelaras lawatan Familiarisation (FAM) Trip media dan agensi pengembaraan dari dalam dan luar negara termasuk syarikat penerbangan ke Langkawi.

“Inisiatif ini merupakan promosi melalui lawatan produk pelancongan, hotel penginapan, restoran, pengangkutan dan sebagainya bagi memberi pengalaman langsung kepada peserta agar mempromosikan Langkawi secara efektif.

“Sehingga September, 23 FAM Trip dianjurkan, antaranya FAM Trip Penggambaran Al-Jazeera, FAM Trip James Magazine dari Italy, FAM Trip Pengusaha Pelancongan & Influencer dari Guilin, China serta FAM Trip Youtuber & Tiktokers Malaysia ke Langkawi,” ujarnya.

Mohd Salleh berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 26 acara diadakan di Langkawi, antaranya Langkawi Geopark Enduro Challenge (12 November) dan Langkawi International Half Marathon (2 Disember) disertai 2,100 peserta dari 29 negara.

“Jaringan pengangkutan semakin positif dengan adanya penerbangan berjadual bermula Februari tahun depan, iaitu dari Dubai, UAE serta Kuala Namu, Indonesia pada Mac.

“Sebanyak 21 kapal persiaran (cruise) yang berlabuh tahun ini. Bermula November dan Disember, Langkawi menerima 14 kapal persiaran di Langkawi Cruise Terminal (LCT) dengan anggaran lebih 20,000 pelancong. Tahun depan dijangka 18 kapal persiaran berlabuh dalam Jan-Mei,” ujarnya.

Tambah beliau, pelancongan Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) juga menyumbang kepada statistik pelancong Langkawi berikutan ia antara hub MICE terkenal di Asia Tenggara.

“Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan penganjuran acara dan projek pelancongan antaranya Route Asia 2024, program promosi MICE dan Chartered Flight, menaik taraf Ayer Hangat Village serta membina fosil walk di Pulau Anak Tikus,” jelasnya.