Langkawi jadi ‘pekan hantu’ jika kemasukan pelancong terus merosot

Kehadiran pelancong ke Langkawi semakin merosot dan membimbangkan penggiat pelancongan di pulau peranginan tersebut. -Gambar hiasan
Kehadiran pelancong ke Langkawi semakin merosot dan membimbangkan penggiat pelancongan di pulau peranginan tersebut. -Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Industri perhotelan, kereta sewa dan kedai makan di Langkawi dibimbangi semakin tenat susulan kehadiran pelancong yang semakin merosot kebelakangan ini.

Pengusaha berisiko mengalami kerugian berterusan, malah dikhuatiri pulau legenda yang sebelum ini dipenuhi pelancong domestik mahupun antarabangsa setiap kali musim perayaan bakal bertukar menjadi ‘pekan hantu’.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, senario itu agak membimbangkan apabila tempahan hotel di pulau peranginan itu sempena cuti Deepavali hanya sekadar 10 peratus bagi hotel tiga bintang ke bawah.

“Cuti Deepavali bermula minggu depan, namun sehingga kini tempahan hotel hanya 10 peratus bagi yang bertaraf tiga bintang.

"Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, tahun ini lebih teruk dan kita jangkakan kerugian sehingga 58 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurutnya, senario itu disifatkan terburuk berbanding tahun-tahun sebelum ini dan industri pelancongan di Langkawi bakal berkubur jika tiada langkah drastik dilakukan oleh kerajaan.

“Berdasarkan tinjauan dan maklum balas pengusaha sektor pelancongan, semakin ramai pengusaha makanan di sini (Langkawi) ‘gulung tikar’, pemilik kereta sewa pula melelong kenderaan kerana tidak mahu tanggung hutang bank akibat jumlah pelancong yang semakin merosot kebelakangan ini.

“Ramai pengusaha terjejas, ada yang sudah jual perkakasan kedai mereka, saya bimbang jumlah ini akan bertambah lagi jika tiada langkah segera diambil pihak terlibat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Zainudin memaklumkan, sebanyak 31 daripada 163 pengusaha kedai makan atau restoran yang berdaftar dengan LTA sudah tidak beroperasi sepanjang Oktober.

Zainudin
Zainudin

“Faktor kemerosotan lain mungkin disebabkan kekurangan trip feri selain pelancong terpengaruh dengan berita di media sosial yang dimomokkan dengan harga makanan mahal.

“Banyak kedai makan tawarkan harga berpatutan.

"Dakwaan yang tular kononnya kedai makan di Langkawi cekik darah atau ‘harga kayangan’ perlu diperbetulkan,” jelasnya.

Menurutnya, pihak terlibat harus tampil memperjelaskan isu tular atau tidak tepat berkenaan Langkawi kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar dan menakutkan pelancong untuk berkunjung ke pulau tersebut.

Zainudin juga percaya, kemerosotan pelancong ke pulau itu turut didorong oleh tindakan orang ramai memilih Hatyai di Thailand sebagai destinasi percutian murah.

“Harga makanan dan penginapan di selatan Thailand lebih murah dan ia jadi faktor penarik kepada pelancong antarabangsa berbanding memilih Langkawi.

“Sebenarnya banyak tarikan ditawarkan di negara jiran itu antaranya kos perjalanan yang jauh lebih murah dan mudah,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, ia menjejaskan pendapatan penduduk Langkawi yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada pelancongan apabila pulau berkenaan tidak lagi menjadi pusat percutian pilihan.

“Tidak mustahil Langkawi akan jadi ‘pekan hantu’ sama seperti ketika era pandemik Covid-19 dahulu.

“Langkawi sudah hilang tarikan sebab tidak ada promosi baharu untuk merancakkan semula industri pelancongan di sini,” jelasnya.

Zainudin berharap kerajaan negeri mahupun Persekutuan dapat berbincang bersama dan mencapai titik persamaan dalam mempromosikan Langkawi seterusnya merancakkan kembali industri pelancongan di pulau peranginan itu.

“Persepsi buruk mengenai Langkawi juga perlu diperbetulkan segera selain pihak terlibat tampil dengan pakej serta tarikan baharu untuk gamit semula kemasukan pelancong, khususnya pada musim cuti persekolahan akan datang,” ujarnya.