Pelancongan Langkawi, elakkan publisiti negatif - Sanusi

Sanusi (gambar kecil) berkata, 60 peratus pelancong ke Langkawi adalah dari luar negara, sementara pelancong tempatan hanya menyumbang 40 peratus. - Foto Bernama
Sanusi (gambar kecil) berkata, 60 peratus pelancong ke Langkawi adalah dari luar negara, sementara pelancong tempatan hanya menyumbang 40 peratus. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kesal apabila terdapat pihak yang memainkan naratif berterusan untuk memberi gambaran salah mengenai pelancongan di Langkawi yang didakwa bukan lagi menjadi pilihan pelancong.

Beliau berkata, kemerosotan pelancong ke pulau legenda bukan disebabkan tidak lagi menjadi destinasi pilihan, sebaliknya disebabkan pelbagai faktor.

Menurutnya, 60 peratus pelancong ke Langkawi adalah dari luar negara, sementara pelancong tempatan hanya menyumbang 40 peratus.

“Itu data sebelum pandemik Covid-19. Pelancong domestik berbelanja sekitar RM300 tetapi pelancong antarabangsa berbelanja sehingga RM1,000 secara purata di Langkawi.

"Kekurangan kemasukan pelancong antarabangsa akan menyebabkan pendapatan sektor pelancongan berkurang.

“Difahamkan pendapatan kerajaan Persekutuan daripada pelancongan di Langkawi sekitar RM3 bilion hingga RM4 bilion untuk negara.

"Jadi elakkan beri publisiti negatif kerana akan menyusutkan pendapatan sektor pelancongan kepada negara, bukan kerugian kepada Kedah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sanusi berkata, setakat Oktober tahun ini, kemasukan pelancong ke Langkawi adalah 2.2 juta daripada sasaran 3.2 juta pengunjung, selepas memasuki era pemulihan pandemik.

Artikel Berkaitan:

“Sasaran oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk tahun 2022 ialah 2.5 juta tetapi kita cecah 2.6 juta pengunjung.

“Saya tak mahulah kata ada pihak mahu sabotaj Kedah, mereka yang mensabotaj diri sendiri kerana pendapatan sektor pelancongan pergi kepada Persekutuan seperti cukai pelancongan, Kedah hanya kutip cukai pintu,” ujarnya.

Menurutnya, kemerosotan pelancong domestik turut disumbangkan oleh tekanan kos sara hidup masa kini menyebabkan warga tempatan berjimat dalam perbelanjaan pelancongan.

“Kekurangan pelancong luar ditambah dengan sikap ‘berkira-kira’ pelancong tempatan menyebabkan kekurangan pelancong ke Langkawi pada masa ini.

“Faktor lain, penerbangan terus dari luar negara belum bermula, hanya Singapura.

"Begitu juga cruise kerana kedua-dua sektor ini menyumbang kepada pelancongan Langkawi,” jelasnya.

Sanusi berkata, penerbangan terus dari Dubai (Fly Dubai Airlines) hanya akan bermula pada 10 Februari tahun depan.

“Dulu kita ada penerbangan terus Qatar Airways tujuh kali seminggu yang bawa masuk pelancong dari 121 destinasi ke Langkawi sehari sekali, namun masih belum dimulakan.

“Qatar Airways mula datang jumpa saya untuk buat bubble tourism, harap perkara ini dapat perhatian kerajaan Persekutuan.

"Air Asia pula daripada Langkawi ke Guangzhou, China tetapi sekarang pun belum dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau berharap Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia turut memainkan peranan merancakkan pelancongan di Langkawi, bukan hanya dibebankan kepada kerajaan negeri.

“Isu seperti larangan minum arak atau tidak boleh berseluar pendek adalah fitnah dan pembohongan oleh Menteri Pelancongan sendiri yang hanya menambahkan masalah, menjauhkan pelancong luar dari Langkawi.

“Ini kerana ia beri kesan buruk pada industri pelancongan Langkawi sedangkan Langkawi aset pelancongan negara.

“Kalau menteri berkenaan pun beri publisiti negatif kepada destinasi pelancongan.

"Saya harap menteri terbabit ditukar ke kementerian lain, sepatutnya beri publisiti positif, barulah sektor pelancongan berkembang,” jelasnya.

Sanusi memaklumkan, kajian juga mendapati pelancong tidak lagi kunjungi Langkawi pada tahun ini kerana mereka sudah berkunjung pada tahun lepas.

“Tahun ini mungkin mereka pilih Krabi di Thailand sebab kos tak begitu jauh berbeza.

"Apa yang berlaku, pihak luar beri gambaran makanan di Langkawi mahal sebab kes terpencil.

"Harga sama saja macam tahun lepas dan salah faham ini patut diperbetulkan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Konsortium Feri, Jabatan laut dan agensi terbabit telah membuat aku janji dalam pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan untuk minimumkan lima trip dari Kuala Kedah dan lima trip dari Kuala Perlis, namun waktu perjalanan mungkin berubah mengikut pasang surut air laut.

Tambah beliau, dalam isu perbandingan dengan Thailand, walaupun Langkawi Pulau Bebas Cukai, namun kerajaan Persekutuan sewajarnya menimbangkan beberapa keputusan berkaitan percukaian lain untuk menjamin harga lebih kompetitif untuk menarik pelancong.

“Isu konon kereta sewa dilelong dan restoran gulung tikar, situasi sebenar ialah kereta sewa di Langkawi mendapat permintaan tinggi sebelum pandemik kerana kemasukan pelancong 3.9 juta, jadi pengusaha beli kereta namun pandemik menyebabkan mereka kini mahu jual lebihan kereta,” ujarnya.

Sanusi turut mencadangkan agar agensi kerajaan mengadakan kursus dan seminar di Langkawi untuk merancakkan semula sektor pelancongan.

“Program ikonik seperti Le Tour de Langkawi (LTDL) perlulah masuk ke Langkawi.

"Pelik acara guna nama Langkawi tetapi tak masukkan Langkawi sebagai destinasi,” ujarnya.

Beliau juga berharap Kementerian Kewangan (MOF) segera membuat pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LADA yang dikosongkan sejak Februari agar perancangan untuk Langkawi berjalan lancar.

Pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir mendakwa industri perhotelan, kereta sewa dan kedai makan di Langkawi dibimbangi semakin tenat susulan kehadiran pelancong semakin merosot.

Beliau bimbang pengusaha mengalami kerugian berterusan, malah dikhuatiri pulau legenda yang sebelum ini dipenuhi pelancong domestik mahupun antarabangsa setiap kali musim perayaan bakal bertukar menjadi ‘pekan hantu’.

Ia diburukkan lagi dengan tempahan hotel di pulau peranginan itu sempena cuti Deepavali hanya sekadar 10 peratus bagi hotel tiga bintang ke bawah.