'Pentingkan diri sendiri, tindakan tidak wajar'- Islahuddin

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum tndakan itu diikuti Ahli Parlimen Labuan, Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Jeli. (Gambar kecil: Muhammad Islahuddin)
Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum tndakan itu diikuti Ahli Parlimen Labuan, Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Jeli. (Gambar kecil: Muhammad Islahuddin)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai individu yang mementingkan diri sendiri.

Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas berkata, prinsip perjuangan sanggup dikorbankan dan tidak selari dengan keputusan dibuat parti sebelum ini.

"Sebenarnya, kami terkejut dengan tindakan terbaharu dibuat Ahli Parlimen Gua Musang. Pada saya, sudah tentu tindakan mereka itu tidak wajar, terutamanya apabila sebelum ini, dua Ahli Parlimen PN menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri disebabkan peruntukan.

"Bagi saya, mereka mengorbankan prinsip. Tindakan mereka ini tidak selari dengan prinsip dan keputusan parti.

"Saya yakin tindakan akan dikenakan ke atas mereka yang terlibat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Muhammad Islahuddin berkata, beliau yakin pucuk pimpinan parti akan melakukan yang terbaik bagi memastikan ahli Parlimen terus menyokong PN.

"Kita faham ahli Parlimen memerlukan peruntukan di kawasan tetapi perlu diingat ada cara untuk memohon peruntukan ini. Cuba tengok di Parlimen, kita (PN) masih dalam usaha berbincang dengan kerajaan untuk memastikan semua dapat.

"Harap bersabar, kita pun akan hadapi dengan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Insya-ALLAH pimpinan akan buat terbaik untuk parti, saya yakin," katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman sebelum menyaksikan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim turut berbuat demikian pada Selasa.

Terbaharu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN:[KRONOLOGI] Empat Ahli Parlimen Bersatu umum sokong PM

Ahli Parlimen PN sokong PM, politik murahan

Dalam perkembangan sama, PN Johor menyifatkan perkembangan politik yang menyaksikan Ahli Parlimen PN menyokong Perdana Menteri sebagai tidak sihat.

Naib Pengerusinya, Mohd Solihan Badri mendakwa, tindakan memberi sokongan penuh kepada kerajaan dengan naratif yang lemah dan kecenderungan memberi tekanan kepada wakil rakyat pembangkang adalah amalan politik murahan.

"PN Negeri Johor mengklasifikasikan perkembangan tersebut sebagai norma baharu politik tidak sihat, mengancam demokrasi dan menafikan hak rakyat yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri.

"Justeru, politik murahan di kedua-dua pihak ini perlu disekat kerana skop tugas ahli Parlimen jangan disempitkan hanya setakat yang melibatkan projek kecil serta membantu penduduk memerlukan di kawasan.

"Sebaliknya, mereka perlu melihat skop lebih besar termasuk mengenai dasar ekonomi, kepentingan pendidikan serta masa depan agama Islam dan sosioekonomi orang Melayu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohd Solihan, ahli Parlimen juga perlu peka kepada pelaksanaan pembangunan negeri bagi menyelesaikan masalah rakyat seperti peluang pekerjaan, keperluan perumahan mampu milik serta menyantuni isu sosial lain.

"Ahli Parlimen jangan mudah taasub kepada isu-isu kecil yang boleh diurus pelbagai pihak dan agensi kerajaan untuk dijadikan alasan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri," ujarnya.

Tegasnya, PN Johor juga tidak yakin sokongan penuh sebegitu akan menukar kawasan diwakili parti pembangkang yang belot itu dengan pembangunan hebat dan segala masalah diselesaikan.

"Sepatutnya kerajaan ini lebih fokus bekerja, berjuang dan menunjukkan prestasi membangunkan negara serta mensejahterakan rakyat untuk kekal memerintah," katanya.