MP PN sokong PM didalangi 'broker politik' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Tidak mustahil tindakan empat ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didalangi 'broker politik'.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, ini kerana broker politik sentiasa wujud sepanjang zaman untuk mengucar-kacirkan politik bagi memastikan kuasa kekal kepada parti tertentu.

Menurutnya, sudah menjadi tugas pihak terbabit untuk mendekati wakil rakyat yang disasarkan dengan menawarkan habuan agar mereka beralih sokongan.

“Sepanjang zaman memang ada broker politik sebab itu memang kerja dia untuk kekalkan bos (pemimpin) dia berkuasa, kerja dia buat urusan ‘beli’ wakil rakyat.

“Sesiapa yang tak mampu bertahan dengan cubaan, dugaan atau cabaran pasti tewas. Sebab itu wakil rakyat perlu tahan lasak dan sabar berdepan ujian,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Menteri Besar Kedah itu berkata, pihak tersebut menjerut ahli Parlimen daripada pembangkang untuk beralih sokongan secara licik.

“Isu utama dibangkitkan ialah ketiadaan peruntukan untuk berkhidmat di kawasan masing masing. Mereka gunakan teknik seperti ganggu kemudahan asas (air, elektrik).

“Ibarat di Gaza, rakyat dipotong ubat, hospital dibom, nak bagi rakyat Palestin mengalah. Situasi berbeza namun strategi sama. Itulah cara menjerut hingga empat pemimpin sudah mengalah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada terdapat ura-ura ahli Parlimen PN dari Kedah akan ikut jejak empat wakil rakyat Bersatu tersebut, Sanusi tegaskan, ia terserah kepada ketahanan wakil rakyat masing-masing.

“Setakat ini tak ada dengarlah khabar macam itu. Saya serah kepada ketahanan jiwa masing masing. Kalau ahli Parlimen bersikap seperti itu, penggal hadapan tak akan dipilih jadi calon, tak kan nak pilih lagi orang macam itu sebab pemikiran dia singkat,” jelasnya.

Sanusi yakin ahli Parlimen Pas tidak akan terpengaruh dengan tindakan beralih sokongan kerana ahli parti itu telah dilatih untuk ketahanan diri yang kuat.

“Kukuhkan keimanan jati diri, pasak betul-betul apabila menjadi wakil rakyat selepas mengambil amanah. Tahap kesabaran, ketahanan fizikal dan mental harus kuat, tidak boleh ada kepentingan lain.

“Sebab itu nak pilih calon wakil rakyat kena pilih betul-betul. Tapis betul-betul boleh tahan tekanan atau tidak, berpaling tadah atau tidak,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, broker politik bukan sekadar tuduhan melulu sebaliknya pernah berlaku ketika era pemerintahan Pas bawah pimpinan Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Saya sendiri alami pada tahun 2008. saya melepasinya tanpa sebarang bayaran. Ketika itu saya ‘jaga’ wakil rakyat (PKR) yang didekati, lompat dua tinggal tiga, selepas didatangi broker politik.

“Itu antara proses broker politik buat kerja, saya hadapinya dengan tenang dan alhamdulillah kerajaan Pas ketika itu tidak terbalik. Itulah pengalaman saya berdepan broker politik,” ujarnya lagi.

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Tindakan itu diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman sebelum menyaksikan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim turut berbuat demikian pada Selasa.

Terbaharu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar pada Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!