Ahli Parlimen Jeli pula isytihar sokong PM

Zahari Kechik
Zahari Kechik
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ia susulan permasalahan kos sara hidup dan himpitan keperluan asas yang dihadapi rakyat di kawasan tersebut termasuk isu pembangunan.

“Saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar bermula dari tarikh kenyataan ini dikeluarkan.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi terutama dalam keadaan serba mencabar sebagai wakil rakyat perlu memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) turut mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, akan terus taat dan kekal setia sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Walaupun bakal berdepan risiko tindakan disiplin parti, namun beliau tidak mahu rakyat terus menjadi mangsa dan ketinggalan untuk mendapatkan semua bentuk pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, beliau akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Sokongan saya ini berterusan sehingga pilihan raya umum (PRU) yang seterusnya dan ia dibuat tanpa sebarang paksaan atau pengaruh serta tekanan daripada mana-mana pihak.

“Perkara ini dibuat atas kerelaan saya sendiri demi rakyat Jeli,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!