Sokong PM: Keputusan MP Gua Musang berubah dalam tiga hari - Kamaruddin

Kamaruddin, Mohd Azizi Abu Naim
Kamaruddin, Mohd Azizi Abu Naim
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Bersatu (Parti Pribumi Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor mendedahkan pihaknya terkejut dengan tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Hari Sabtu lepas kami ada mesyuarat Bersatu negeri, beliau (Mohd Azizi) hadir dan memberitahu ada menerima tawaran berbuat demikian.

"Dalam pertemuan itu, beliau memaklumkan telah menolak kesemua tawaran berkenaan. Susulan itu, kami mengucapkan tahniah kepadanya atas penolakan itu," katanya kepada pemberita semasa ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Susulan pengumuman tersebut Kamaruddin cuba menghubungi Mohd Azizi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Neggiri itu namun tidak berjaya kerana kedua-dua telefon telah dimatikan.

Ujarnya, demikian juga telefon isteri dan pemandu beliau.

"Jadi untuk sementara ini kita serah kepada pimpinan pusat untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Insya-ALLAH esok (Khamis) saya akan berjumpa dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Kamaruddin memberitahu beliau tidak dapat pastikan apa sebabnya dan apa yang telah berlaku dalam tempoh tiga hari selepas perjumpaan Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, berkenaan kedudukan Ketua Bersatu Bahagian Gua Musang itu beliau akan menerima nasib yang sama sebagaimana tindakan dibuat oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid sebelum ini.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Mohd Azizi daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Mohd Azizi yang bertanding atas tiket Pas berjaya menumbangkan penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li daripada Barisan Nasional (BN).

Mohd Azizi menang dengan majoriti sebanyak 163 undi di kawasan yang dipegang oleh Ku Li selama 10 penggal.