Rumah banjir semula selepas sehari cuci

Penduduk terpaksa dipindahkan semula ke PPS SMK Dengkil. (Gambar kecil dari kiri: Rohaizal, Junaidah, Mustafa)
Penduduk terpaksa dipindahkan semula ke PPS SMK Dengkil. (Gambar kecil dari kiri: Rohaizal, Junaidah, Mustafa)
A
A
A

SEPANG - Baharu sehari pulang dan mencuci rumah sebelum terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil selepas rumah ditenggelami banjir pada Rabu.

Situasi tersebut dihadapi seorang mangsa banjir, Rohaizal Taib, 43, dari Kampung Cemperai, Dengkil yang kerugian RM7,000 susulan banjir berulang menimpa kawasan rumah sewa yang baharu diduduki bersama isteri sebulan lalu.

Menurunya, kawasan tersebut sering dinaiki air namun tidak pernah memasuki kawasan rumah.

"Rasa menyesal juga pindah ke sini sebab nak elak kenderaan berat di Bukit Changgang terpaksa hadap pula masalah banjir.

"Banjir kali ini agak teruk sebab ban pecah menyebabkan air naik sehingga paras leher (satu meter) menyebabkan pihak bomba mengarahkan penduduk mengosongkan kediaman atas faktor keselamatan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Keadaan salah satu keluarga yang ditempatkan di PPS SMK Dengkil pada Rabu.
Keadaan salah satu keluarga yang ditempatkan di PPS SMK Dengkil pada Rabu.

Beliau ditemui sewaktu program lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bagi melawat mangsa banjir di PPS SMK Dengkil yang menempatkan 189 mangsa banjir dari kawasan Jenderam, Kampung Cemperai dan Sri Tanjong.

Rohaizal memaklumkan telah menetap di PPS sejak Ahad sejurus pulang dari tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kerja tapi saya ulang alik ke rumah untuk lihat situasi paras air dan sempat juga alihkan beberapa barangan elektrik ke tempat tinggi.

"Cuma ada beberapa barang yang tak sempat dialihkan, antaranya tilam Coway dan beberapa perabot lain selepas kawasan rumah tidak dapat dimasuki selepas banjir," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Junaidah Abd Latif, 45, meluahkan rasa kurang selesa duduk PPS dalam tempoh lama susulan perlu menguruskan suami serta anak sakit.

"Air dah surut tapi tidak digalakkan lagi pulang ke rumah kerana keadaan cuaca yang tidak menentu, bimbang air nak semula.

"Saya harap dapat segera balik rumah kerana kurang selesa duduk di PPS kerana perlu urus suami ada masalah kesihatan, anak pula perlu dibawa ke hospital untuk jalani pembedahan kaki lepas kemalangan," katanya.

Mustafa Ramli, 62, pula berkata, rumahnya terletak di kawasan tinggi turut terlibat banjir dan diminta mengosongkan kediaman.

"Saya harap kerajaan negeri salur peruntukan naik taraf sungai bagi atasi banjir berulang di kawasan ini kerana sudah empat kali duduk ke PPS sejak tahun lepas disebabkan banjir.

"Kerajaan negeri perlu serius atasi banjir, jangan bila sudah ada kehilangan nyawa baharu mahu bertindak," katanya.