'Kuasai 3M sebelum masuk sekolah menengah'

Laporan Sinar Harian pada 16 Jun lalu. Gambar kecil: Anuar
Laporan Sinar Harian pada 16 Jun lalu. Gambar kecil: Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar pendidikan mencadangkan supaya terdapat satu sistem yang memantau setiap pelajar mendapat kemahiran asas terutama menguasai kemahiran asas membaca, mengira dan menulis (3M) bagi memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran sehingga tidak mahu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil serius perkara sedemikian bagi memastikan isu 3M dapat diselesaikan sebelum pelajar berkenaan memasuki sekolah menengah.

“Pertama sekali mesti ada satu ujian untuk pastikan pelajar ini mahir 3M sebelum memasuki sekolah menengah. Jika mahir dan kuasai 3M maka mereka mempunyai rasa ingin belajar sebab dapat membaca dan menulis dengan baik semasa di sekolah menengah.

“Bayangkan kalau anak-anak itu tidak boleh baca dan tulis secara baik sekali gus menyebabkan mereka mudah mengalah untuk belajar.

“Mereka mungkin pergi sekolah tetapi apabila sampai peringkat peperiksaan, mereka jadi kurang yakin dan kemudian ambil keputusan tarik diri serta tidak mahu ambil peperiksaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Khamis, KPM mengesahkan hampir 30,000 direkodkan tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 termasuk calon yang berdaftar mengambil satu mata pelajaran dalam peperiksaan awam itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, jumlah yang tepat adalah seramai 29,663 daripada 388,832 tidak mengambil peperiksaan berkenaan tahun lalu.

Dalam pada itu, Anuar berkata, disebabkan akademik pelajar yang lemah maka perlunya pemantauan dan pelaksanaan ujian-ujian penting bagi memastikan keyakinan mereka dipertingkatkan untuk mengambil peperiksaan.

“Sebelum ini kita ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di mana sebelum menduduki SPM, pelajar ini melalui beberapa proses dan penilaian terlebih dahulu.

“Jadi mereka tahu tahap mereka terlebih dahulu. Jika tahu kekurangan, pelajar ini akan dihantar ke tuisyen dan guru-guru pula buat kelas tambahan di sekolah namun ia sudah tidak ada sekarang maka mereka tidak didedahkan dengan ujian penting dan besar sepanjang tempoh tersebut sehinggalah SPM,” jelasnya.

Menurutnya, sekiranya tahap motivasi pelajar tersebut rendah, hilang fokus dan kemudian terdapat peluang-peluang pekerjaan lebih menarik menyebabkan mereka tidak mahu meneruskan persekolahan malah tidak mengambil SPM.

Sementara itu, Anuar turut menyambut baik usaha KPM dan menterinya, Fadhlina Sidek yang sudah menyerahkan draf cadangan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah.

Jelas Anuar, perkara berkenaan merupakan salah satu cara untuk memastikan anak-anak tidak tercicir dalam pembelajaran sekali gus menamatkan pendidikan mereka sehingga SPM.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah itu perlu disertakan dengan pakej di mana KPM dan kementerian lain perlu membuat persiapan selain penilaian terlebih dahulu memandangkan terdapat kes di mana pelajar ini mempunyai kekangan dari segi kewangan serta masalah peribadi lain.

“Ada kes pelajar yang tidak ke sekolah disebabkan masalah kewangan, kemiskinan dan galas tanggungjawab sebagai ketua keluarga di mana terpaksa bekerja untuk sara ibu dan adik-adik.

“Jadi kes-kes seperti ini, KPM dan kementerian perlu berbincang untuk menentukan siapa yang perlu bertanggungjawab tangani isu sedemikian maka barulah kita mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah supaya undang-undang itu lebih adil kepada semua pihak,” ujar beliau.