PM mahu syarat kelas Tamil di sekolah menengah dilonggarkan

Anwar menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Tamil ke-11 di Universiti Malaya pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Tamil ke-11 di Universiti Malaya pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu berjanji akan berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimana syarat semasa untuk Bahasa Tamil diajar sebagai bahasa tambahan di sekolah menengah, boleh dilonggarkan.

Ketika berucap melancarkan Persidangan Penyelidikan Tamil Antarabangsa Ke-11 di University Malaya (UM) di sini pada Sabtu, Anwar berkata, syarat minimum semasa ialah perlu ada 15 pelajar untuk sebuah kelas Bahasa Tamil diadakan.

"Saya akan beritahu dan mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk melakukan pelarasan diperlukan walaupun jika kita tetapkan syarat (angka) kepada 10, kita harus membenarkan sembilan atau 11 pelajar juga.

"(Ini juga) untuk memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai bahasa tambahan. Dalam sekolah-sekolah di seluruh dunia, seperti di Amerika Syarikat dan China, orang ramai menggalakkan pelajar untuk mengusai dua atau lebih bahasa yang bermakna dalam konteks ini pelajar India, menguasai bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil. Saya fikir ia akan memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk mempunyai pelajar yang menguasai lebih banyak bahasa,” katanya.

Turut hadir ialah pengerusi bersama persidangan itu V Sivakumar yang juga Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Walaupun Dasar Pendidikan Kebangsaan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa itu, Anwar berkata, pada masa sama pelajar juga digalakkan mempelajari bahasa tambahan di sekolah menengah.

Beliau berkata, ini wujud set minda lama dalam kalangan ramai rakyat Malaysia termasuk Melayu bahawa mereka harus takut kepada usaha mempromosi bahasa lain di sekolah menengah, termasuk bahasa Cina.

"Mereka nampaknya tidak menghiraukan bahawa menguasai bahasa kedua atau ketiga adalah satu keperluan.

Boleh anda bayangkan Malaysia Baharu wujud kemahiran dalam bahasa kebangsaan, dengan pelajar-pelajar menguasai bahasa Inggeris dan sebahagian besar mereka juga menguasai bahasa Tamil, Cina dan Arab,” katanya.

Perdana Menteri berkata, menguasai pelbagai bahasa adalah kekuatan Malaysia kerana hanya beberapa negara yang mempunyai tahap kecekapan seperti itu, sambil menambah ini sepatutnya membuatkan rakyat Malaysia merasa bangga.

Anwar juga mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta untuk Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya dan RM2 juta lagi untuk Kementerian Pendidikan melihat semula keadaan pendidikan Tamil di sekolah menengah.

Peruntukan ini, katanya, sebagai menghormati Persidangan Penyelidikan Tamil Antarabangsa Ke-11 pada Sabtu.

Merujuk kepada Saravanan dan Sivakumar yang bekerjasama sebagai pengerusi bersama persidangan itu, Anwar berkata, beliau menghormati masyarakat dan pemimpin India kerana menjadi peneraju dalam membina sebuah "Perpaduan Malaysia” yang baharu, sambil menambah ini adalah mesej kepada pemimpin Melayu dan Cina bahawa wawasan negara perlu mengatasi semua perbezaan dan kepentingan

"Amat jarang anda lihat penceramah daripada MIC di atas pentas dan penyokong DAP dan PKR memberikan tepukan. Apa yang salah dengan kita? Tiada yang salah, sebagai sebuah negara kita sudah matang,” katanya.

Beliau juga berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau akan terus menyokong rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Anwar juga mengucapkan satu ayat daripada puisi klasik Tamil, "Yaathum oorey, yaavarum kelir" , yang menonjolkan mesej padu yang mengingatkan intipati identiti kebangsaan.

Persidangan yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Penyelidikan Tamil Antarabangsa (IATR), Universiti Malaya dan Yayasan OMS, menghimpunkan lebih 3,000 penyelidik dan cendekiawan Tamil dari lebih 50 negara. - Bernama