Peniaga ditahan, polis temui pistol di stor kedai runcit

Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan senjata-senjata yang dirampas semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Selasa.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan senjata-senjata yang dirampas semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga ditahan bersama sepucuk pistol selepas polis menjumpai barang larangan itu semasa melakukan pemeriksaan di dalam stor kedai runcit di Lubok Jong, Pasir Mas pada Selalu lalu.

Pistol jenis sig sauer itu ditemukan bersama satu kelopak, 26 butir peluru luger 9 milimeter (mm) dan sebutir peluru thaiarms 9mm pada jam 5 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, turut dirampas dalam serbuan tersebut dua biji pil yaba dan hasil semakan yang dilakukan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah berkait kesalahan narkotik, Akta Kastam serta Akta Imigresen.

"Saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Menurutnya, suspek direman sehingga 9 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,"

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya berjaya menahan lima lelaki masing-masing berusia 21 hingga 29 tahun dalam serbuan berasingan pada Isnin.

Menurut beliau, dua lelaki ditahan dalam serbuan pada jam 4 pagi di sebuah rumah di Kampung Pohon Gelugor, Jalan Chetok, Pasir Mas.

Ujarnya, susulan itu polis menahan dua lagi lelaki lagi dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Panau, Tanah Merah.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kesemua suspek disyaki terlibat dalam kes curi motosikal.

"Sambil dipandukan salah seorang suspek semasa membuat pemeriksaan di rumah di Kampung Pohon Gelugor, Jalan Chetok, polis telah melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memegang sebilah parang.

"Suspek terbabit berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan badan telah menemui sepucuk pistol yang diselit di pinggang sebelah kanan dan 13 butir peluru hidup dijumpai di dalam sebuah beg kecil," katanya.

Menurut beliau, suspek didapati gagal mengemukakan kad pengenalan semasa ditangkap.

Muhamad Zaki memberitahu, kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan merupakan penganggur.

Ujarnya, tiga daripada suspek mempunyai rekod kesalahan seperti jenayah dan narkotik.

"Mereka semua direman empat hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 dan Peraturan 25 (1) (N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Kita juga merampas lapan biji pil yaba, alatan mencuri motosikal, dua buah motosikal jenis Yamaha LC, Honda Wave (dua), satu rangka dan enjin motosikal serta sebuah kereta jenis Alza," katanya.