Polis lupus barang rampasan RM6.25 juta

Abd Khalid melupuskan barang rampasan dengan jengkaut di IPK Negeri Sembilan pada Khamis.
Abd Khalid melupuskan barang rampasan dengan jengkaut di IPK Negeri Sembilan pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan melupuskan barang rampasan bernilai RM6.25 juta membabitkan jenayah kontraban dan bitcon bagi tempoh 2018 hingga 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, ia melibatkan rokok, arak tanpa cukai dan mesin bitcoin yang membabitkan 37 kertas siasatan.

"Siasatan dibuat bawah Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Kesemua kes tersebut telah selesai perbicaraan dan menerima arahan daripada mahkamah dan Timbalan Pendakwa Raya untuk dilupuskan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelupusan Barang Kes Kontraban dan Bitcon di sini pada Khamis.

Menurutnya, semua barang kes itu dirampas hasil daripada 19 operasi kontraban dan 18 operasi bitcoin membabitkan 38 tangkapan.

Tambahnya, dengan pelupusan barang terbabit, ia dapat menjimatkan ruang penyimpanan di stor barang kes.

Abd Khalid (dua dari kiri) melupuskan mesin bitcoin di IPK Negeri Sembilan pada Khamis.
Abd Khalid (dua dari kiri) melupuskan mesin bitcoin di IPK Negeri Sembilan pada Khamis.

"Pelupusan barang kes bagi jenayah kontraban ialah 340,003 peket rokok, 1,008 tin arak, 281 botol arak yang dianggarkan berjumlah RM3.75 juta.

"Pelupusan barang kes bitcoin pula ialah 1,252 buah mesin bitcoin, 12 set komputer, 68 unit modem yang dianggarkan berjumlah RM2.5 juta," katanya.

Sementara itu katanya, polis akan mengambil tindakan drastik untuk menyelesaikan kertas siasatan membabitkan barang kes dari masa ke masa sekali gus mengelakkan lambakan barang kes di stor barang kes di setiap daerah.

Ujarnya, pihaknya akan terus mengambil langkah-langkah proaktif dan efektif dalam usaha membanteras kegiatan tersebut dan tidak akan bertolak ansur serta berkompromi ke atas aktiviti terbabit dengan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

Beliau berkata, ia termasuklah kepada mana-mana pegawai atau anggota yang bersengkongkol melindungi aktiviti haram terbabit.

"Kami menyeru masyarakat terus prihatin dan sentiasa tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya dapat membantu menghapuskan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang ini," katanya.