Pengedar dadah miliki dua kerakyatan dicekup bersama syabu

PGA Batalion 7 menemui satu plastik warna merah mengandungi tiga tiub plastik lut sinar dipercayai dadah selepas membuat pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang bernombor plat Thailand.
PGA Batalion 7 menemui satu plastik warna merah mengandungi tiga tiub plastik lut sinar dipercayai dadah selepas membuat pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang bernombor plat Thailand.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang pengedar dadah yang memiliki dua kerakyatan (Malaysia dan Thailand) dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan bersama syabu seberat 2.20 gram dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Gual Tok Deh dekat sini semalam.

Dalam serbuan jam 4.16 petang itu PGA Batalion 7 Kuantan turut merampas wang tunai berjumlah RM18,069.85 termasuk mata wang Thailand dipercayai hasil jualan dadah.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggotanya telah melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki berusia 52 tahun.

"Sejurus memperkenalkan diri sebagai anggota penguat kuasa, pemeriksaan terhadap suspek telah dilakukan namun tidak menemui sebarang petunjuk.

"Anggota penguat kuasa kemudian melakukan pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang bernombor plat Thailand bersama-sama suspek dan telah menjumpai satu plastik warna merah mengandungi tiga tiub plastik lut sinar dipercayai dadah," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian bersama barangan yang dirampas termasuk kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Katanya, saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis meth dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkait dengan bahan terlarang itu.

Azhari berkata, hasil soal siasat awal yang dijalankan suspek mengaku dadah jenis syabu yang dibawa dari negara jiran Thailand untuk pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek memasuki sempadan negara melalui pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang setiap hari bagi menghantar bekalan dan mengambil wang hasil penjualan dadah daripada individu yang menjalankan pengedaran dadah di sekitar Rantau Panjang.

"Selain itu suspek memiliki dua kerakyatan berdasarkan penemuan pasport dan lesen memandu negara Thailand selain kad pengenalan Malaysia," katanya.